Albert Tei membuat laporan polis di IPD Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei hari ini membuat laporan polis dan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali berhubung hantaran kontroversi yang mengandungi frasa ‘Cina Sesat’.

Menurut Albert, hantaran tersebut didakwanya berpotensi menghasut sentimen perkauman dan kebencian sekali gus boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.

Katanya, kenyataan itu turut mempunyai elemen yang menyentuh sensitiviti melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

“Ken­yataan ‘Cina Sesat’ mengandungi elemen jelas yang menyentuh sensitiviti melibatkan kaum, agama dan raja (isu 3R),” katanya dalam aduan yang dikemukakan kepada SKMM.

Selain membuat aduan kepada SKMM, Albert turut membuat laporan polis berhubung perkara sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Terdahulu, beliau merupakan antara dua individu yang dinamakan oleh Hisyamuddin yang berikrar untuk mengambil tindakan terhadap mereka kerana didakwa menyebarkan fitnah terhadap kerajaan. Seorang lagi individu yang dinamakan ialah bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Eric See-To.

Bagaimanapun, penggunaan frasa ‘Cina Sesat’ oleh Hisyamuddin mencetuskan kritikan pelbagai pihak.

Walaupun beliau kemudian memohon maaf, Hisyamuddin menafikan kenyataan itu berunsur perkauman dan mendakwa ia telah diambil di luar konteks sebenar.

Albert sebelum ini dikenali sebagai individu yang mendedahkan skandal rasuah perlombongan di Sabah dan kini merupakan antara pengkritik lantang pentadbiran semasa.

Beliau juga mendakwa wujud usaha untuk melindungi ahli politik yang dikaitkan dengan kes berkenaan, namun dakwaan itu telah dinafikan kerajaan.

Pada November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, fail siasatan berkaitan kes tersebut tidak pernah ditutup.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini menasihatkan Hisyamuddin supaya lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata bagi mengelak ia dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pula juga menggesa semua pihak supaya mengelak penggunaan bahasa tidak sopan atau kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti 3R ketika mengulas kontroversi yang melibatkan Ketua Pengarah J-Kom itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast