Logo Perodua

KUALA LUMPUR – Perodua menawarkan pengurangan harga ke atas alat ganti komponen penyelenggaran, termasuk kos buruh sebanyak 10 peratus (tertakluk kepada terma dan syarat) dalam usahanya membantu rakyat Malaysia berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pengurangan harga itu tertakluk kepada harga alat ganti komponen penyelenggaran serta kos buruh yang dikenakan kepada pelanggan.

Dengan tawaran ini, pelanggan dijangka menikmati penjimatan sebanyak 10% daripada jumlah bil penyelenggaraan mereka bermula esok.

“Kami mengalu-alukan pelanggan untuk datang ke pusat servis bertauliah Perodua bagi mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran ini serta menggunakan alat ganti tulen untuk kenderaan Perodua anda agar ia boleh kekal cekap dan dipercayai sepanjang masa.

“Kami percaya penurunan kos penyelenggaran ini akan membantu pelanggan mengurangkan kos mobiliti mereka, dan kami di Perodua menjalankan tanggungjawab kami untuk memberi nilai yang lebih baik kepada pelanggan kami,” katanya hari ini.

Kempen ini ditawarkan kepada semua model kenderaan Perodua termasuklah QV-E, daripada aspek pemeriksaan, gantian komponen serta kos buruh yang berkaitan dengan penyelenggaraan kenderaan.

Zainal Abidin berkata, berdasarkan data dalaman Perodua, terdapat lebih daripada 5 juta kenderaan jenama itu di atas jalan dan percaya menerusi kempen ini, syarikat boleh memberikan servis penyelenggaraan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

Untuk 2025, sejumlah 3.7 juta kenderaan diselenggara di pusat servis Perodua seluruh negara.

Baru-baru ini, Perodua mengurangkan harga kenderaan EV pertamanya – QV-E kepada RM93,999 untuk pemilikan penuh atau RM69,999 menerusi pakej Battery as a Service (BAAS) dengan tambahan bayaran bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama Sembilan tahun.

Untuk tempoh terhad, Perodua memberikan harga khas sebanyak RM87,499 untuk pemilikan penuh QV- atau RM63,499 dengan pakej BAAS dengan bayaran bulanan sebanyak RM215 (termasuk cukai) selama 9 tahun.

Tawaran ini akan berakhir 30 September 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast