KUALA LUMPUR – Kemenangan Masoud Pezeshkian sebagai Presiden Republik Islam Iran yang baharu dalam Pilihan Raya Presiden Iran baru-baru ini dijangka mengukuhkan hubungan baik Malaysia-Iran.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hubungan diplomatik yang terjalin sejak empat dekad lalu diharapkan dapat diteruskan kepimpinan baharu ini.
“Hubungan dua hala ini telah terjalin dari aspek ekonomi, pertanian, sains, teknologi dan pendidikan.
“Amanah yakin kemenangan Masoud ini mampu mengukuhkan hubungan baik antara Malaysia dan Iran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Masoud menewaskan lawan ultrakonservatif, Saeed Jalili, bekas perunding nuklear utama dan ketua badan keselamatan tertinggi, dengan julat 2.7 juta undi dalam keputusan yang diumumkan awal Sabtu.
Seorang tokoh politik berprofil rendah, Masoud berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan dalam kerajaan Mohammad Khatami (2001-2005) dan mewakili bandar barat laut Tabriz di Parlimen Iran sejak 2008.
Seorang pakar kardiologi, Masoud sebelum ini mengetuai Universiti Sains Perubatan Tabriz, salah satu institusi perubatan terkemuka di utara Iran.
Dalam pada itu, Mohamad berharap Iran komited untuk membela nasib rakyat Palestin di bawah kepimpinan presiden yang baharu itu.
“Amanah yakin di bawah kepimpinan Masoud, Iran akan terus komited membela nasib rakyat Palestin atas kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















