DJ Dave ketika ditemui pemberita selepas upacara pengkebumian Zaleha Hamid di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Pemergian penyanyi dangdut popular era 1980-an, Zaleha Hamid ke rahmatullah malam tadi merupakan satu kehilangan besar kepada seni suara tanah air.

Pengerusi Yayasan Artis Veteran (YKAT), Datuk DJ Dave berkata, Allahyarhamah dikenali menerusi gaya nyanyian tersendiri dan keperibadian mesra.

Malah ujarnya, lagu-lagu nyanyiannya juga masih meniti di bibir peminat bukan sahaja di Malaysia tetapi Singapura.

“Satu memang rapat dengan dia semasa kita sepentas dulu. Allahyarhamah seorang yang peramah, selalu bergaul mesra dengan semua orang dan kelakar.

“Lima tahun lalu saya ada datang menziarahi arwah di kediamannya, sewaktu dia sakit tiroid. Sekali-sekala kita hubungi keluarganya dan tanya khabar. Suami Allahyarhamah, Ungku Sulaiman Ungku Aziz juga kerap memberitahu perkembangan kesihatan Zaleha ketika itu.

“Yayasan juga menyalurkan bantuan pencen bulanan berjumlah RM500 kepada Allahyarhamah sejak dua tahun lalu bagi membantu kehidupan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor Kampung Sungai Danga, di sini, hari ini.

Menurut DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, mendapat makluman pemergian Allahyarhamah malam tadi.

Beliau berharap keluarga Allahyarham dapat bersabar dengan ujian tersebut.

“Suami Allahyarhamah memaklum pada petang semalam Zaleha nampak sihat tetapi ajal maut ditakdir Allah, semua sudah ditetapkan. Itulah Allah sayangkan dia.

“Semoga mereka semua sabar dan tenang. Kehilangan seorang lagi artis perjuangan saya. Selalu bernyanyi bersama-sama. Kita doakan yang terbaik untuk Allahyarhamah,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga pada pukul 3 petang tadi.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada pukul 8.30 malam tadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarhamah meninggalkan suami, Ungku Sulaiman, 60, dan tiga anak iaitu Zalisham Samsudin, 48; Ungku Chik Zafierul Azman, 37, serta Ungku Nor Muhammad Danial, 28, termasuk enam cucu.

Sebelum ini, media melaporkan keadaan kesihatan Zaleha yang diserang angin ahmar sehingga koma pada 2019, kembali terjejas berikutan kandungan kalsium berlebihan dalam otak sehingga mengalami kekejangan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast