KUALA LUMPUR – Polis kini sedang giat menjalankan operasi mengesan dan menangkap semula seorang tahanan reman warga Pakistan yang dilaporkan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut semalam sebelum segera menggerakkan anggota untuk memburu suspek.
“Sejurus menerima laporan tersebut, pihak polis telah mempergiatkan usaha mengesan banduan tersebut di sekitar kawasan berdekatan dan mempelbagaikan usaha lain.
“Banduan kali terakhir dilihat berpakaian t-shirt berwarna oren dan berseluar panjang berwarna hitam,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Tahanan yang diburu itu dikenali sebagai Muhammad Hassan, berusia 24 tahun, yang sedang berhadapan dengan pertuduhan serius termasuklah kes di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii), Seksyen 392 Kanun Keseksaan (rompakan) serta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Sehubungan itu, Mohd Hafiz mengingatkan masyarakat agar meningkatkan kewaspadaan memandangkan latar belakang jenayah suspek yang berbahaya.
“Pihak polis menasihati orang awam supaya lebih berhati-hati memandangkan banduan ini mempunyai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
“Jika mempunyai maklumat mengenai kedudukan banduan tersebut, sila hubungi pegawai penyiasat atau balai polis berhampiran dengan segera,” tegas beliau.
Beliau turut meminta orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan operasi pihak polis serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Insp C. Muhendran di talian 010-4304383 atau Insp Azamuddin di talian 016-5661597 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222. — MalaysiaGazette
















