Gaji minimum dinaikkan sebanyak RM1,700 mulai Februari 2025.

JIKA keputusan Kabinet untuk mengecualikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini, ia mencerminkan satu dilema besar dalam dasar ekonomi Malaysia.

Kerajaan berhadapan dengan dua tuntutan yang sama penting iaitu pekerja memerlukan pendapatan yang lebih tinggi untuk menghadapi kos sara hidup, manakala PMKS memerlukan ruang untuk bertahan dalam persekitaran kos operasi yang semakin mencabar.

Namun, perbahasan mengenai gaji minimum tidak seharusnya terhenti pada persoalan sama ada gaji perlu dinaikkan atau ditangguhkan.

Persoalan yang lebih asas ialah adakah kenaikan gaji benar-benar meningkatkan kuasa beli pekerja dan adakah kenaikan tersebut disokong oleh peningkatan produktiviti serta nilai tambah ekonomi?

Inilah persoalan yang sepatutnya menjadi perhatian utama dalam Belanjawan 2027.

Gaji naik tidak semestinya rakyat lebih kaya

Dalam perbahasan awam, kenaikan gaji sering dianggap sebagai tanda peningkatan kesejahteraan pekerja. Daripada perspektif ekonomi, kesimpulan tersebut tidak semestinya benar. Apa yang lebih penting ialah gaji benar (real wage), iaitu pendapatan selepas mengambil kira perubahan harga barang dan perkhidmatan.

Jika gaji meningkat lima peratus tetapi kos sara hidup meningkat empat peratus, peningkatan kuasa beli sebenar jauh lebih kecil daripada angka kenaikan gaji nominal.

Jika harga keperluan utama seperti makanan, perumahan, pengangkutan dan utiliti meningkat lebih pantas daripada pendapatan, pekerja boleh berada dalam keadaan paradoks iaitu gaji meningkat tetapi kehidupan masih terasa semakin mahal.

Oleh itu, matlamat dasar gaji tidak sepatutnya hanya menghasilkan angka gaji minimum yang lebih tinggi. Matlamat akhirnya ialah memastikan pendapatan benar dan kuasa beli pekerja meningkat secara berterusan.

Ini menjadi semakin penting apabila inflasi keseluruhan Malaysia berada pada paras yang relatif sederhana. Inflasi pada Ogos 2026 direkodkan sekitar 1.9 peratus, tetapi kadar inflasi mengikut kumpulan perbelanjaan tidak semestinya dirasai secara sama rata oleh semua isi rumah.

Misalnya, kumpulan restoran dan penginapan mencatat peningkatan sekitar 2.1 peratus, maka angka inflasi nasional sahaja tidak mencukupi untuk menggambarkan tekanan sebenar yang dihadapi oleh isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana kerana corak perbelanjaan mereka berbeza daripada isi rumah berpendapatan tinggi.

Apabila gaji naik, kos perniagaan turut meningkat

Daripada perspektif majikan, gaji merupakan kos pengeluaran. Oleh itu, kenaikan gaji minimum boleh meningkatkan kos operasi, khususnya bagi PMKS yang bergantung kepada tenaga kerja secara intensif.

PMKS mempunyai peranan yang sangat besar dalam ekonomi Malaysia. Pada 2025, sektor ini menyumbang 39.7 peratus kepada KDNK Malaysia, bersamaan nilai ditambah sekitar RM689.8 billion dan menyediakan kira-kira 8.09 juta pekerjaan atau 48.7 peratus daripada keseluruhan guna tenaga negara.

Angka ini menunjukkan bahawa sebarang perubahan terhadap kos buruh PMKS tidak boleh dilihat sebagai isu antara majikan dan pekerja semata-mata.

Ia mempunyai implikasi terhadap harga, pekerjaan, penggunaan domestik dan pertumbuhan ekonomi. Jika kos buruh meningkat dengan ketara, terdapat beberapa kemungkinan.

Majikan boleh menyerap kos tersebut melalui pengurangan keuntungan. Mereka juga boleh meningkatkan produktiviti, mengurangkan pengambilan pekerja, mempercepatkan automasi atau memindahkan sebahagian kos kepada pengguna melalui kenaikan harga.

Pilihan terakhir inilah yang menimbulkan kebimbangan terhadap inflasi tolakan kos (cost-push inflation).

Jangan salahkan gaji sebagai punca inflasi secara automatik

Namun, adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa kenaikan gaji secara automatik akan menyebabkan inflasi tinggi.

Kesan terhadap harga bergantung kepada sejauh mana firma mampu menyerap peningkatan kos melalui produktiviti, margin keuntungan dan kecekapan operasi.

Malah, Kementerian Kewangan menganggarkan bahawa kesan langsung pelaksanaan gaji minimum RM1,700 terhadap inflasi adalah kecil, sekitar 0.01 mata peratusan.

Pada masa sama, peningkatan pendapatan pekerja boleh menyokong penggunaan swasta. Ini menunjukkan terdapat dua kesan yang perlu dilihat secara serentak.

Di satu pihak, gaji lebih tinggi meningkatkan kos pengeluaran. Di pihak lain, gaji lebih tinggi meningkatkan pendapatan isi rumah dan seterusnya kuasa beli serta permintaan domestik.

Justeru, persoalan ekonomi sebenar bukan ‘gaji menyebabkan inflasi atau tidak?’, tetapi ‘berapa besar peningkatan kos gaji dapat diserap oleh peningkatan produktiviti sebelum ia diterjemahkan kepada harga pengguna?’

Produktiviti ialah jambatan antara gaji dan daya saing

Di sinilah isu produktiviti menjadi sangat penting. Data menunjukkan produktiviti PMKS meningkat 4.1 peratus pada 2025, manakala KDNK PMKS berkembang sebanyak 5.7 peratus.

Ini memberikan satu asas ekonomi yang penting. Jika produktiviti pekerja meningkat, firma mempunyai lebih banyak ruang untuk meningkatkan upah tanpa semestinya menaikkan kos seunit secara ketara. Secara mudah:

Produktiviti meningkat → nilai ditambah meningkat → kemampuan membayar gaji meningkat → gaji meningkat.

Masalah akan timbul apabila gaji meningkat tetapi produktiviti tidak bergerak seiring. Dalam keadaan tersebut, firma mungkin berdepan tekanan kos yang lebih tinggi.

Sebahagian kos mungkin dipindahkan kepada pengguna melalui harga, manakala sebahagian lagi mungkin ditanggung melalui pengurangan keuntungan atau pekerjaan.

Sebaliknya, jika produktiviti meningkat tetapi gaji pekerja tidak meningkat seiring, persoalan yang berbeza pula muncul, siapa yang menerima sebahagian besar manfaat daripada peningkatan nilai tambah tersebut?

Inilah sebabnya perbahasan gaji minimum perlu diperluaskan kepada persoalan pembahagian hasil pertumbuhan ekonomi antara buruh dan modal.

Gaji naik, tetapi kuasa beli mesti benar-benar naik

Kenaikan gaji yang tidak menghasilkan peningkatan kuasa beli akhirnya mempunyai nilai ekonomi yang terhad kepada pekerja. Jika gaji meningkat tetapi harga barangan dan perkhidmatan meningkat pada kadar yang sama, pekerja hanya memperoleh lebih banyak ringgit tetapi tidak semestinya memperoleh lebih banyak kemampuan membeli.

Maka, ukuran kejayaan dasar gaji tidak sepatutnya hanya ‘berapa tinggi gaji minimum?’ sebaliknya ‘berapa banyak kuasa beli sebenar pekerja meningkat selepas mengambil kira inflasi?’

Persoalan ini amat penting bagi golongan berpendapatan rendah kerana sebahagian besar pendapatan mereka digunakan untuk keperluan asas.

Kementerian Kewangan menganggarkan sekitar 71.6 peratus daripada pendapatan tambahan bagi kumpulan berkaitan dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan asas.

Ini bermakna peningkatan pendapatan golongan berpendapatan rendah berpotensi memberi kesan langsung kepada permintaan domestik.

Dalam erti kata lain, gaji pekerja bukan hanya kos kepada majikan; gaji juga merupakan kuasa beli yang menjadi permintaan kepada perniagaan.

Ironinya, PMKS yang bimbang tentang peningkatan kos buruh juga merupakan antara penerima manfaat apabila kuasa beli rakyat meningkat.

Jangan jadikan pengecualian PMKS sebagai penangguhan tanpa penghujung

Dalam konteks ini, keputusan mengecualikan PMKS daripada kenaikan gaji minimum baharu boleh difahami sebagai langkah memberi ruang kepada firma menyesuaikan diri.

Tetapi pengecualian tersebut tidak boleh menjadi penyelesaian kekal. Jika pekerja PMKS terlalu lama dikecualikan daripada peningkatan gaji, Malaysia berisiko mewujudkan jurang yang lebih besar antara pekerja berdasarkan saiz firma.

Lebih membimbangkan, pengecualian tanpa strategi produktiviti boleh mengekalkan model ekonomi berasaskan kos buruh rendah. Malaysia akhirnya akan terperangkap dalam kitaran:

“produktiviti rendah → gaji rendah → kuasa beli rendah → permintaan terhad → pelaburan produktiviti rendah → produktiviti terus rendah”.

Kitaran inilah yang perlu diputuskan.

Belanjawan 2027 perlu mengubah cara kita melihat subsidi gaji

Dalam konteks ini, Belanjawan 2027 mempunyai peluang penting untuk mengubah pendekatan dasar. Kerajaan tidak seharusnya sekadar menyediakan subsidi supaya majikan mampu membayar gaji lebih tinggi.

Subsidi mungkin diperlukan sebagai mekanisme peralihan, tetapi penyelesaian jangka panjang mestilah datang daripada peningkatan produktiviti.

Peruntukan Belanjawan 2027 perlu lebih tertumpu kepada pelaburan yang meningkatkan produktiviti PMKS seperti automasi dan penggunaan teknologi, kecerdasan buatan dan pendigitalan, latihan semula dan peningkatan kemahiran pekerja, TVET yang benar-benar sepadan dengan keperluan industri, pembiayaan untuk teknologi dan mesin produktif, insentif kepada firma yang meningkatkan gaji bersama produktiviti dan sokongan kepada PMKS untuk memasuki rantaian nilai bernilai tinggi.

Dengan pendekatan ini, kerajaan tidak sekadar membayar majikan untuk menaikkan gaji, tetapi membantu majikan menjadi lebih produktif supaya mereka mampu membayar gaji lebih tinggi secara berterusan.

Graduan menerusi bidang pengajian TVET yang terus menjadi buruan industri dalam dan luar negara. (Gambar fail).

Belanjawan 2027 perlu mengukur “gaji benar”, bukan sekadar gaji nominal

Satu lagi perubahan penting ialah cara kejayaan dasar kerajaan diukur. Kerajaan tidak seharusnya hanya melaporkan bahawa gaji nominal meningkat. Belanjawan 2027 wajar memberikan perhatian lebih besar kepada beberapa petunjuk seperti:

“pertumbuhan gaji benar + produktiviti buruh + kuasa beli isi rumah + kos sara hidup + bahagian buruh dalam pendapatan negara”.

Jika gaji nominal meningkat enam peratus tetapi harga keperluan asas meningkat lima peratus, peningkatan kesejahteraan pekerja tidak sama dengan angka enam peratus tersebut.

Sebaliknya, jika produktiviti meningkat lima peratus, gaji benar meningkat dan inflasi kekal terkawal, barulah pertumbuhan pendapatan boleh dikatakan lebih berkualiti. Ini merupakan perbezaan antara pertumbuhan gaji dengan pertumbuhan kesejahteraan.

PMKS perlu dilindungi, tetapi pekerja juga perlu dilindungi

Perlindungan kepada PMKS memang penting kerana sektor ini merupakan tulang belakang pasaran pekerjaan Malaysia. Tetapi perlindungan tersebut tidak boleh bermaksud pekerja perlu terus menerima gaji rendah selama-lamanya.

Kerajaan perlu membezakan antara PMKS yang benar-benar menghadapi kekangan produktiviti dengan firma yang mempunyai kemampuan membayar tetapi mengekalkan model perniagaan berasaskan kos buruh rendah. Bantuan kerajaan sepatutnya lebih bersasar.

PMKS yang melabur dalam teknologi, melatih pekerja, meningkatkan produktiviti dan menaikkan gaji wajar diberikan sokongan yang lebih besar. Dengan cara ini, bantuan fiskal menjadi pelaburan produktiviti, bukan sekadar perbelanjaan berulang.

Dilema sebenar bukan ‘gaji tinggi atau PMKS’

Akhirnya, Malaysia tidak boleh melihat isu ini sebagai pilihan antara pekerja dan majikan. Pekerja memerlukan gaji yang lebih tinggi. PMKS memerlukan produktiviti yang lebih tinggi. Ekonomi memerlukan kedua-duanya.

PMKS menyumbang hampir 40 peratus kepada KDNK dan menyediakan hampir separuh daripada pekerjaan negara. Pada masa yang sama, pekerja memerlukan pertumbuhan pendapatan benar supaya kuasa beli mereka tidak terhakis oleh kos sara hidup.

Oleh itu, persoalan utama bukan sekadar berapa tinggi gaji minimum boleh dinaikkan, tetapi berapa tinggi produktiviti Malaysia boleh ditingkatkan supaya gaji yang lebih tinggi dapat dibayar tanpa mencetuskan tekanan kos yang berlebihan.

Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengubah pemikiran atau mentaliti mereka terhadap geran kerajaan yang diterima, kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail. - foto hiasan
Jika kerajaan hanya menaikkan gaji tanpa meningkatkan produktiviti, PMKS mungkin berdepan tekanan kos dan pengguna pula berdepan risiko harga yang lebih tinggi. – Gambar hiasan

Cabaran sebenar Belanjawan 2027

Belanjawan yang baik bukan sekadar menyediakan wang untuk subsidi gaji. Ia perlu membina ekosistem yang membolehkan produktiviti meningkat, nilai tambah meningkat, gaji benar meningkat dan kuasa beli rakyat meningkat, sementara inflasi kekal terkawal.

Jika kerajaan hanya menaikkan gaji tanpa meningkatkan produktiviti, PMKS mungkin berdepan tekanan kos dan pengguna pula berdepan risiko harga yang lebih tinggi.

Jika kerajaan terlalu lama menangguhkan kenaikan gaji pula, pekerja mungkin terus kehilangan kuasa beli dan jurang pendapatan boleh melebar.

Maka, penyelesaiannya bukan memilih antara ‘gaji tinggi’ atau ‘PMKS berdaya saing’.

Penyelesaiannya ialah membina PMKS yang lebih produktif supaya mampu membayar gaji yang lebih tinggi. Pada akhirnya, kejayaan Belanjawan 2027 tidak seharusnya diukur hanya dengan satu angka iaitu RM1,700, RM1,800 atau RM2,000.

Ukuran yang lebih penting ialah adakah pekerja benar-benar mempunyai lebih banyak kuasa beli? Adakah peningkatan gaji disokong oleh peningkatan produktiviti? Dan adakah setiap ringgit tambahan yang dibayar kepada pekerja mencerminkan lebih banyak nilai yang berjaya dicipta oleh ekonomi Malaysia?

Kerana gaji yang lebih tinggi tanpa kuasa beli bukan kemakmuran. Gaji yang lebih tinggi tanpa produktiviti pula bukan penyelesaian yang mampan.

Belanjawan 2027 perlu memastikan kedua-duanya bergerak seiring: rakyat memperoleh pendapatan yang lebih baik, sementara ekonomi menghasilkan nilai yang lebih tinggi untuk menyokong pendapatan tersebut. – MalaysiaGazette

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Naseem Niaz Ahmad

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here