khairat BKM
Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, Cyberjaya. Foto arkib Malaysia Gazette

PUTRAJAYA – Sebanyak 268,005 pembayar cukai telah mengemukakan 1.99 bilion e-Invois setakat hari ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 196,031 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois pada fasa keempat.

“Pelaksanaan e-Invois ini adalah secara berfasa dan baru-baru ini, telah diumumkan kenaikan nilai ambang pelaksanaannya daripada RM1 juta kepada RM3 juta.

“Ia telah memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana mereka yang mempunyai perolehan di bawah RM3 juta tidak perlu melaksanakan e-Invois ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Bulan HASiL 2026 di sini hari ini.

Dengan kenaikan ambang tersebut yang berkuatkuasa mulai 1 Sept 2026, PMKS dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois.

Abu Tariq berkata bagi Fasa 1, sebanyak 5,582 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois, diikuti 14,579 pembayar cukai pada Fasa 2 dan 51,815 pembayar cukai pada Fasa 3.

Pelaksanaan e-Invois telah bermula pada 1 Ogos 2024.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat lebih 620,000 fail cukai syarikat yang aktif dan lebih 7.6 juta fail cukai individu yang aktif sehingga 31 Ogos 2026.

Sementara itu, dalam ucapan, Abu Tariq berkata Bulan HASiL yang dilaksanakan dengan tema ‘Lapor Sukarela, Tanggungjawab Bersama’ merupakan peluang untuk pembayar cukai kembali kepada pematuhan secara sukarela.

Katanya HASiL telah mengetengahkan beberapa program khas seperti Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) termasuk PKPS e-Invois, PKPS Duti Setem dan Kempen Pengakuan Sukarela Cukai Pendapatan.

“Ringkasnya, PKPS e-Invois memberi tumpuan kepada pematuhan e-Invois, PKPS Duti Setem membuka ruang untuk menyelesaikan urusan penyeteman dengan manfaat pengecualian penalti yang ditawarkan manakala Kempen Pengakuan Sukarela Cukai Pendapatan memberi peluang untuk memperbetulkan pendapatan,” katanya.

Antara pengisian utama Bulan HASiL ialah Jelajah Literasi HASiL yang akan dilaksanakan di seluruh negara sepanjang Oktober 2026.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here