JOHOR BAHRU – Polis Johor sedang giat memburu seorang lelaki warga Myanmar yang melarikan diri selepas membunuh majikannya di sebuah gerai makan di Jalan Dato Abdullah Tahir di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata suspek berusia 26 tahun itu merupakan pelayan di kedai berkenaan.

Katanya majikannya yang juga tukang masak telah ditikam di perut oleh suspek yang berang apabila ditegur kerana berbual terlalu lama dengan teman wanitanya yang juga pekerja di kedai itu.

“Kejadian berlaku pada pukul 10.30 pagi dan mangsa mati serta merta di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Sulaiman berkata orang ramai yang terdengar bunyi pergaduhan itu di bahagian dapur gerai telah melaporkannya kepada polis manakala suspek melarikan diri.

Katanya pisau sepanjang 14 inci itu ditemukan dalam kolam hiasan kecil yang terletak di hadapan gerai itu.

Mayat lelaki berumur 32 tahun itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast