Ras Adiba Radzi

KUALA LUMPUR – Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia menyambut baik usaha kerajaan memberi tempat kepada mereka untuk menyampaikan maklumat mengenai persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi yang mewakili masyarakat orang kelainan upaya (OKU) berkata, peluang diberikan itu, seramai sembilan jurubahasa akan memulakan tugas mereka di Parlimen.

Katanya, mulai hari ini golongan OKU terutama pekak dapat mengikuti sesi persidangan Parlimen melalui RTM saluran atas talian.

“Peluang ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan OKU, dan peluang ini dapat dikongsikan kepada mereka mengenai perjalanan persidangan.

“Hari ini golongan pekak dapat mengikuti sesi parlimen selepas sekian lama tidak berpeluang,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Menurut Ras Adiba, komuniti OKU terutama pekak kini berpeluang mengikuti apa yang sedang dibincangkan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Katanya, beliau menyifatkan peluang itu sebagai kenangan terindah golongan OKU termasuk kerjasama beberapa NGO untuk memastikan tiada diskriminasi terhadap golongan pekak mengikuti perbahasan.

Beliau turut menyatakan, daripada 1.4 juta OKU pekak, hanya lebih 400,000 yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya minta masyarakat di luar sana, iaitu ibu bapa, jiran, NGO, ketua kampung dan rakan taulan bantu membawa OKU di kawasan mereka mendaftar dengan JKM.

“Saya tahu mereka sukar untuk keluar, tak mampu, tetapi mereka perlu mendaftar supaya mendapat keistimewaan dan sokongan daripada pelbagai program kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast