Teng Chang Khim
Teng Chang Khim

KUALA LUMPUR – Exco kanan Selangor, Datuk Teng Chang Khim mendesak agar Pas tidak jadi penyibuk dalam isu penganjuran pesta arak di negeri itu.

Menurutnya, kadar AIDS dan isu sosial di negeri Kelantan yang dipimpin Pas adalah lebih tinggi berbanding Selangor walaupun pesta arak tidak dianjurkan di negeri ditadbir PAS itu.

“Adakah Pas mahu jadi hero? Pemimpin Pas terutama di Kelantan jaga tempat (negeri) sendiri, jaga tempat mereka dahulu.

“Pas melompat dalam isu pesta arak macam orang mabuk. Saya yang minum (arak), kenapa dia (pemimpin Pas) yang mabuk? Kenapa Pas hendak sibuk?,” katanya.

Difahamkan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin membenarkan penganjuran Centro Mall German Food & Beverage Festival pada Oktober ini selepas penganjur mematuhi syarat ditetapkan.

Antara syarat yang ditetapkan, penganjur perlu mendapatkan lesen menyediakan minuman keras daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling serta pengesahan polis.

Malah program itu juga disyaratkan supaya tidak membenarkan orang Islam menghadiri festival pada 12 dan 13 Oktober itu.

Chang Khim yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor akan turut hadir sekiranya dijemput pengajur.

Beberapa kepimpinan Pas sebelum ini bertindak menghentam penganjuran pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ yang dijadual diadakan di ibu negara Oktober depan.

Antaranya Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyifatkan pengajuran itu tidak bermoral dan merosakkan rakyat.

BBF17 merupakan acara tahunan sejak 2012 itu diuar-uarkan sebagai The Biggest Celebration of the Craft Beer Revolution in Malaysia.

Pesta arak itu bukan sahaja dipromosikan melalui iklan secara terbuka, malah dihebahkan bakal menyediakan hidangan 250 jenis arak keluaran 43 syarikat dari 12 negara dengan sasaran penyertaan 6,000 pengunjung.

Sebelum itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertegas menolak permohonan penganjuran BBF17 yang diterima 28 Ogos lalu selain memberi amaran mengambil tindakan undang-undang jika penganjur meneruskan aktiviti itu.

Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut mendedahkan wujud perancangan oleh pihak militan yang mahu sabotaj penganjuran BBF17 yang sebelum ini dijadualkan pada 6 dan 7 Oktober di ibu negara. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.