Shamima Begum

LONDON- Status kerakyatan remaja berusia 19 tahun, Shamima Begum yang lari ke Syria untuk mengahwini pejuang ISIS bakal dibatalkan kerajaan Britain.

Perkara tersebut dimaklumkan kepada keluarga beliau menerusi sepucuk surat dan didedahkan oleh peguam keluarga Begum kepada media.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguam beliau, Tasnime Akunjee, keluarga Begum “sangat kecewa dengan hasrat Pejabat Dalam Negeri yang mahu membatalkan kerakyatan Shamima”.

“Kami sedang mempertimbangkan semua peruntukan undang-undang untuk mencabar keputusan tersebut,” kata kenyataan itu.

Dalam sepucuk surat yang telah dihantar kepada ibu Begum dan diperolehi oleh stesen ITV News, Pejabat Dalam Negeri Britain berkata, keputusan tersebut dibuat oleh Setiausaha Dalam Negeri, Sajid Javid pada Selasa.

Jabatan berkenaan bagaimanapun tidak memberi sebarang komen ketika dihubungi.

Shamima Begum dibenarkan untuk membuat rayuan di mahkamah, kata surat berkenaan.

Selain Britain, tidak diketahui sama ada beliau mempunyai kerakyatan negara lain.

Nasib Shamima juga tidak diketahui sekiranya beliau hilang kerakyatan Britain.

Empat tahun lalu, Shamima yang ketika itu berusia 15 tahun telah menjadi berita muka depan akhbar-akhbar British apabila beliau terbang ke Syria bersama dua lagi rakan sekelasnya.

Tiga gadis remaja itu terbang ke Turki melalui Lapangan Terbang Gatwick dan menaiki bas sehingga ke sempada Syria.

Mereka kemudiannya menjadi poster girls ISIS yang menunjukkan penyertaan gadis barat dalam kumpulan militan itu.

Shamima ditemui oleh seorang wartawan British di kem pelarian Syria baru-baru ini selepas melarikan diri daripada kubu kuat ISIS di negara tersebut.

Minggu lepas, beliau yang ketika itu sedang sarat mengandung memberitahu wartawan berkenaan mengenai hasratnya untuk pulang semula ke Britain.

Sehari selepas itu, beliau melahirkan seorang bayi lelaki.- MalaysiaGazette