KUALA LUMPUR – Seperti nada seperti seorang ibu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberikan nasihat menusuk jiwa kepada kanak-kanak dan para pelajar hari ini.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berucap ketika menghadiri majlis penutup Program Khalifah Junior 2019 anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Dewan Dato Mohammad Shahrir Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi.

Beliau yang ketika itu sedang membaca teks ucapan berhenti sejenak kemudian dalam nada lembut menasihatkan golongan cilik itu supaya lebih menjaga ketakwaan dan keimanan.

Kata Wan Azizah, sesuatu yang mustahil bagi ibu bapa, penjaga mahupun tenaga pengajar seperti guru untuk sentiasa mengawal dan mengawasi golongan itu daripada melakukan sesuatu yang salah dan terlarang.

“Kepada semua anak-anak yang berada di hadapan saya ini, saya sangat berharap anda semua dapat selalu beringat dan melakukan perkara yang betul. Sentiasa kawal diri daripada melakukan perbuatan yang salah.

“Ibu bapa atau guru-guru tidak boleh jaga anda semua sepanjang masa sebaliknya anda jugalah yang sepatutnya menentukan kebaikan dan keburukan, kamu sekalian juga boleh menjaga diri sendiri.

“Bagaimana untuk menjaga anda, mengawasi anda sentiasa 24 jam? Kerana itu, anda juga perlu belajar untuk jaga diri anda sendiri sentiasa sepanjang masa, perlu belajar untuk fahami baik dan buruk.

“Kita juga perlu betanggungjawab dalam menjaga diri kita sendiri.

“Kepada anak-anak yang saya kasihi juga, teruskan juga usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan mendalami ajaran agama Islam sepenuhnya kerana ianya merupakan bekal kepada kita untuk kembali kepada Allah kelak,” katanya.

Para hadirin termasuk golongan kanak-kanak dan remaja kelihatan begitu khusyuk mendengar ucapan itu tanpa sebarang gangguan.

Dalam pada itu, Wan Azizah juga memberikan idea secara spontan dengan memberi nama baharu kepada program Khalifah Junior.

“Saya tidak pasti mengapa program ini ada juga perkataan bahasa Inggerisnya, Khalifah Junior. Mungkin selepas ini boleh tukar kepada nama bahasa Melayu pula seperti ‘Pewaris Khalifah’?

“Ini hanya cadangan saya secara peribadi, tidak apa-apa,” ujarnya kemudian mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Program Khalifah Junior 2019 merupakan acara tahunan anjuran JKM melalui Bahagian Kanak-Kanak dengan kerjasama ILIM merupakan satu platform yang terbaik bagi menggilap potensi dan keyakinan diri kanak-kanak.

Program tersebut menghimpunakan bberapa acara pertandingan antaranya hafazan, azan, bercerita kisah nabi, pidato dan kuiz minda ulul albab.  –MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.