Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Kerajaan tiada kuasa untuk menentukan perbicaraan mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh disiarkan secara langsung atau tidak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin sebaliknya berkata, hanya mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukannya jika ada permohonan.

“Itu mahkamahlah dia tentukan. Isu sokong tak sokong tak timbul. Itu keputusan mahkamah, maknanya kena buat permohonan, mahkamah tentukan.

“Permohonan boleh dibuat pihak pendakwaan sendiri. Kalau pendakwa tak bantah, permohonan akan mudah.

“Kalau permohonan itu ada bantahan, mahkamah akan dengar bantahan itu,” katanya ketika di lobi Parlimen hari ini.

Pada 28 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 April ini untuk perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu menangguhkan perbicaraan kesnya.

Pada awalnya ia dijadualkan bermula 12 Februari sehingga 29 Mac ini tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac lalu membenarkan permohonan penangguhan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Mohamed Hanipa juga menegaskan, kerajaan enggan mencampuri urusan mahkamah apatah lagi dalam menentukan kebenaran kes SRC International disiarkan secara langsung.

“Kita tak nak ganggu. Mahkamah punya urusan kita tak nak ganggu,” katanya.

Hanipa bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perbicaraan kes Najib itu dipertontonkan kepada umum di negara ini.

“Di Malaysia belum ada, yang ada di Amerika Syarikat. Tak mustahil jatuh kerajaan (BN) dan tak mustahil perkara itu.

“Tiada yang mustahil, boleh, saya harap dia buat permohonan, biar mahkamah tentukan, memang hakim tentukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette