Stevie Chan Keng Leong mengemukakan empat tawaran kepada pengundi Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini. - foto Twitter Stevie Chan
Stevie Chan Keng Leong mengemukakan empat tawaran kepada pengundi Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini. - foto Twitter Stevie Chan

SEREMBAN – Stevie Chan Keng Leong, yang menyatakan hasrat untuk bertanding  pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson  mengemukakan  empat tawaran kepada  pengundi   dalam manifestonya hari ini.

Chan, 51, seorang personaliti media sosial dalam kenyataannya berkata empat tawaran itu ialah memastikan perancangan untuk pengenalan sistem pengangkutan awam dalam bentuk perkhidmatan bas yang selesa, murah dan boleh diharap menghubungkan Kuala Lumpur dan Port Dickson  dilaksanakan  dan menangani  isu jenayah di Port Dickson terutamanya kecurian.

Dua lagi tawaran ialah bekerja rapat dengan kerajaan tempatan dan kerajaan pusat untuk memastikan kebersihan Port Dickson terjaga serta berpindah ke Port Dickson dan menjadi wakil rakyat sepenuh masa.

Selain itu, Chan berkata beliau juga akan mengusulkan supaya golongan isi rumah 20 peratus termiskin mendapat bantuan tunai bulanan, mencadangkan penubuhan Majlis Penasihat Khas untuk pendidikan, pengurangan kemiskinan, Orang Asli, seni dan kebudayaan.

“Saya akui bahawa ada usul-usul saya mungkin sukar untuk dilaksanakan tetapi sebagai wakil bebas, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk sekurang-kurangnya membawa perbincangan ini ke peringkat nasional,” katanya.

PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain selain Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim  iaitu dua parti politik dan seorang lagi individu perseorangan, selain Chan untuk mengambil bahagian.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang  tanpa bertanding  jawatan Presiden PKR, untuk bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Okt dan hari penamaan calon pada Sabtu ini (29 Sept) manakala hari pengundian awal pada 9 Okt.

Parlimen Port Dickson mempunyai  75, 770 pengundi dengan 68,486 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan