Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Misi pencarian pesawat MH370 di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di Lautan Hindi selatan kini memasuki pusingan akhir.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, misi itu dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Jelasnya, hasil laporan pencarian itu akan dimaklumkan kepada semua pihak terbabit.

“Jawatankuasa bersama yang dianggotai Malaysia, Australia dan China telah bermesyuarat akhir Disember lalu mengenai pengakhiran misi tersebut.

“Hasil laporan itu nanti, kita akan putuskan sama ada misi pencarian akan berhenti atau diteruskan di lokasi lain.

“Walaupun ada pendapat mengatakan ia mungkin terhempas di kawasan lain tetapi setakat ini tiada bukti kukuh.

“Kita tidak boleh mencari hanya mendasarkan andaian. Kita perlu petunjuk yang boleh dipercayai untuk mencari pesawat itu,” katanya.

Tiong Lai berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Kempen Keselamatan Kawasaki di Plaz Tol Sungai Besi Arah Selatan di sini hari ini.

Pada 7 Mac 2014, pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette