Kongsi
Bekas Pengasas Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin bercakap pada sidang media mengenai saman fitnah atas tuduhan menerima RM7 juta dari UMNO di Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 OKTOBER 2017

BANGI – Bekas pengasas PPBM, Anina Saadudin, memaklumkan pihaknya telah memfailkan saman fitnah terhadap enam individu termasuk empat daripadanya merupakan pemimpin tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Langkawi.

Anina, melalui peguamnya, Tetuan Abdul & Yazmin telah memfailkan saman berkaitan fitnah yang dilontarkan terhadapnya mengenai dakwaan penerimaan wang sebanyak RM7 juta daripda UMNO di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

Bagimanapun beliau enggan mendedahkan identiti keenam-enam individu tersebut sehingga penyerahan notis daripada pihak mahkamah terhadap mereka.

“Saya melalui barisan peguam saya, telah memfailkan suatu tindakan saman fitnah di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam terhadap beberapa individu untuk membersihkan diri dan nama saya yang dituduh menerima wang sejumlah RM7 juta dari pihak UMNO,” katanya dalam sidang media di Bangi hari ini.

Antara faktor tindakan memfailkan saman itu dilakukan berikutan tiada sebarang tindakan diambil oleh kepimpinan tinggi PPBM berkenaan fitnah yang dilontar terhadapnya, memandangkan beliau juga antara pemimpin tinggi dalam parti sebelum ini, meskipun sudah membuat aduan ke Jawatan kuasa Disiplin PPBM pada awal Ogos lepas.

Sementara itu, Anina memaklumkan beliau telah membuat laporan kepada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung dakwaan wang sogokan RM7 juta itu.

Namun, fitnah berterusan yang dimainkan di laman-laman media sosial secara terbuka oleh individu-individu tersebut, mendorong Anina untuk mengambil tindakan undang-undang.

Sebelum ini, dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PPBM, Petaling Jaya, Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan bahawa beliau mengetahui wang berjumlah RM7 juta yang diterima oleh Anina.

Justeru, Anina menggesa Syed Saddiq agar tampil ke mahkamah ketika proses saman tersebut bagi membela kesemua enam individu tersebut.

“Sebelum ini Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq kata dia tahu berkenaan RM7 juta yang saya terima daripada UMNO. Jadi, saya maklumkan di sini kepada dia, supaya hadir ke mahkamah nanti untuk membela enam individu tersebut.

“Kemukakan bukti yang dia ada,” katanya sinis kepada pemberita hari ini.-MalaysiaGazette

Kongsi

2 Komen

Tinggalkan Jawapan