Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) bercakap pemberita di Restoran Gabungan NGO Malaysia di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR – Himpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi anjuran Pakatan Harapan gagal mencapai sasaran 100,000 kehadiran orang ramai dipercayai berpunca daripada ia mirip kepada program UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, bagi mengatasi kecelaruan imej pembangkang, beliau menawarkan diri untuk menjadi perunding kepada program itu pada masa depan.
Bagi tujuan itu, beliau menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus untuk penyewaan peralatan dan kelengkapan majlis berbanding RM450,000 yang dibayar Pakatan Harapan kepada kontraktor yang dilantik semalam.
“Saya lihat aturan program semalam itu menyerupai program UMNO, kalau orang datang saja dia ingat program UMNO ataupun NGO pro-UMNO. Saya menawarkan diri dan memberi potongan harga separuh.
“Kalau Mat Sabu bayar RM450,000 kepada kontraktor majlis semalam, saya bagi separuh harga daripada harga tersebut termasuk saya sendiri akan menjadi pakar perunding.
“Orang ramai dapat melihat persembahan yang baik, kelengkapan bagus, pencahayaan cukup baik dan skrin LED disusun keliling padang. Ini kerana saya mempunyai peralatan-peralatan canggih,” katanya pada sidang media di Restoran Gabungan NGO Malaysia di Jalan Pahang, di sini, hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) bersama rakan NGOnya di hadapan Restoran Gabungan NGO Malaysia di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, Himpunan Anti-Kleptorkrasi dikatakan mendapat sambutan hambar daripada ahli dan penyokong Pakatan Harapan apabila hanya 8,000 peserta mengambil bahagian dalam program yang diadakan di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.
Mengulas lanjut, Jamal juga berkata, kecelaruan imej pembangkang itu juga berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang cuba membawa cara beliau menganjur program ketika bersama UMNO ke dalam program pembangkang.
“Sebenarnya apa pun tema dia tiada masalah, kerana mereka tahu itulah orang-orang kerepot seperti Tun Mahathir dan Lim Kit Siang, mereka ini sudah kerepot.
“Rakyat Malaysia sudah tahu mereka yang kerepot-kerepot ini. Tetapi apa yang mereka buat semalam menyerupai UMNO, itu yang ahli-ahli tidak setuju, baju merah, persediaan, cara, semuanya seakan-akan macam UMNO
“Saya yakin dan percaya sebelum ini program sebegini Tun M yang buat sejak berzaman dulu dan dia cuba buat dengan pembangkang atau Pakatan Harapan. Sebab itulah ahli-ahli dan penyokong mereka tolak sama sekali,” katanya – MalaysiaGazette