SPRM Jabatan Perangkaan
Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) telah menganjurkan bengkel Pengukuran Rasuah melalui Kaedah Berasaskan Bukti bersama Jabatan Perangkaan dengan input pakar dari Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) di sini baru-baru ini.- Gambar hiasan.
IPOH – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lima pertuduhan menerima wang suapan bernilai RM2,800, dua tahun lepas.

Ahmad Saliman Jamian, 55, pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping didakwa menerima rasuah sebanyak RM50 sebagai dorongan untuk membeli makanan dan rokok, A. Theepan, yang direman di Balai Polis Taiping, pada 11.30 pagi, 26 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah RM450 daripada A. Theepan sebagai dorongan tidak melakukan tangkapan S. Puaneswary dan S. Letchemy berkaitan laporan dibuat G. Bleminah, pada 3 petang, 26 Jun 2015.

Tertuduh juga didakwa memperoleh wang suapan bernilai RM1,000 daripada S. Pathinathan sebagai dorongan untuk membebaskan dengan jaminan polis bagi kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan ke atas G.Bleminah, pada 12.30 petang, 29 Jun 2015.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh juga didakwa menerima rasuah RM500 daripada A. Sandanasamy sebagai dorongan untuk mengeluarkan A. Theepan, yang direman di lokap Balai Polis Taiping mengikut seksyen sama, pada 1.30 tengah hari, 29 Jun 2015.

Bagi pertuduhan terakhir, Ahmad Saliman dituduh menerima rasuah RM800 daripada A. Theepan sebagai duit jaminan untuk melepaskannya (Theepan) yang ditahan pada 2.30 petang, 29 Jun 2015.

Kelima-lima pertuduhan dilakukan di bilik tertuduh iaitu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Taiping.

Kesemua pertuduhan adalah menerusi Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda hingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin dan beliau menawarkan jaminan RM25,000 bagi kesemua pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya pula memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia tidak memiliki wang sebanyak itu.

Hakim Murtazadi Amran kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 15 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

— BERNAMA