Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – China yang mempunyai hubungan persahabatan dengan Malaysia dan Korea Utara paling sesuai memainkan peranan orang tengah dalam kemelut diplomasi Kuala Lumpur-Pyongyang.

Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman, Liu Wei Cheng berkata, keadaan itu berlaku kerana Malaysia mungkin was-was untuk mengizinkan campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memandangkan badan dunia itu khususnya Majlis Keselamatan dianggotai kuasa-kusa besar.

“Bagi saya, China yang mempunyai hubungan persahabatan dengan Korea Utara adalah lebih sesuai,” katanya kepada Sinchew Daily.

Dalam pada itu, halangan Pyongyang untuk rakyat Malaysia meninggalkan Korea Utara dilihat sebagai ugutan politik yang bertujuan mendesak Kuala Lumpur mengisytiharkan punca kematian Kim Chol sebagai sakit jantung.

Walaupun ramai yang percaya lelaki Korea Utara yang meninggal dunia di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai Kim Jong-nam, tetapi Pyongyang bertegas dia sebagai Kim Chol yang maut akibat sakit jantung.

Pengerusi Eksekutif Pusat Kajian Pasifik, Dr. Oh Ei Sun berkata, masa depan hubungan Korea Utara dengan Malaysia kini terletak pada Pyongyang kerana Kuala Lumpur tidak mungkin menentang pertemuan saintifik dengan mengumumkan Kim Jong-nam maut kerana sakit jantung.

“Malaysia tidak mungkin mengisytiharkan kematiannya sebagai sakit jantung semata-mata untuk mengakhiri kemelut diplomatik yang sedang berlaku,” katanya kepada China Press.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa Kuala Lumpur boleh mengamanahkan negara ketiga untuk menjaga kepentingan rakyat Malaysia yang ‘terkurung’ di Korea Utara, selepas mereka dilarang meninggalkan negara pimpinan Kim Jong-un itu.

Pyongyang juga boleh mengambil langkah serupa untuk menjaga kepentingan rakyatnya di Malaysia.

Menurut Ei Sun, Korea Utara pasti rugi besar dalam kemelut yang berlaku kerana Malaysia selama ini merupakan ‘jendela dunia’ buat Pyongyang.

“Selain itu, dunia antarabangsa hanya akan lebih mencemuh Korea Utara selepas apa yang berlaku,” katanya.

Penganalisis dan Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sinchew Daily, Tay Tian Yan pula berkata, berdiplomasi dengan Pyongyang tidak lain seperti bermain muzik kepada lembu yang tidak mengerti seni.

Tian Yan juga membayangkan bahawa Kuala Lumpur tidak dapat ‘mengikat’ Pyongyang dengan menghalang rakyat Korea Utara meninggalkan Malaysia.

“Rakyat Korea Utara hanyalah barang sampingan Dinasti Kim, mereka juga boleh dijadikan korban untuk dinasti ini.

“Lebih 300 rakyat Korea Utara di Malaysia mungkin sedang bersuka kerana tidak perlu pulang ke negara asal,” katanya. – MalaysiaGazette