Home Nasional Balai polis adalah kawasan larangan – kata KDN

Balai polis adalah kawasan larangan – kata KDN

Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Mana-mana balai polis di negara ini adalah kawasan larangan bagi semua individu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mana-mana individu dalah dilarang untuk memasuki balai polis tanpa urusan dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak untuk menolak kemasukan sesiapa sahaja ke balai berkenaan.

“Saya nak maklumkan bahawa balai polis adalah kawasan larangan, kalau ada sesiapa yang tidak berkenaan menceroboh atau tidak mendapat kebenaran untuk berada di situ mereka boleh diambil tindakan,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang Di-Pertuan Agung, Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat hari ini.

Jazlan berkata demikian mengulas mengenai isu tular seorang wanita yang tidak dibenarkan memasuki balai polis Alam Damai, Cheras, 13 Mac lalu.

Dalam rakaman video berdurasi enam minit dan 28 saat itu,  seorang wanita mendakwa polis tidak membenarkannya memasuki balai polis berkenaan selepas diekori sebuah kereta.

Mengulas mengenai itu, Jazlan berkata, kejadian tersebut telah disalahertikan oleh orang awam kerana terdapat salah faham mengenai isu berkenaan.

“Wanita itu tidak dibenarkan masuk ke dalam balai polis disebabkan salah faham di antara pengawal bertugas pada waktu tersebut.

“Jadi, polis kena siasat dulu individu terbabit, kenapa dia nak masuk ke balai polis, jadi perkara itu ditanya oleh pengawal terbabit.

“Kalau orang tersebut ada alasan kukuh, beliau akan bagi masuk. Tapi masalahnya perkara ini telah ditularkan oleh pengadu tersebut,” jelas beliau.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim bagaimanapun sebelum ini menjelaskan balai polis sentiasa dibuka kepada orang awam terutamanya jika berlaku sesuatu kecemasan.

Ekoran itu, polis telah menahan tiga remaja lepasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana disyaki membuat ugutan terhadap wanita berkenaan, sehari kemudian.

“Tidak ada isu salah urus kes berkenaan dan dalam kejadian polis telah menjalankan siasatan pada 13 Mac lalu.

“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Ugutan Jenayah) dan Seksyen 42 (Akta Pengangkutan Jalan) 1987 memandu secara melulu dan berbahaya,” jelas Ahli Parlimen Kulai itu. -MalaysiaGazette.