KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan bahawa cadangan model kewangan retakaful (FinRe) berdasarkan konsep hibah bithawab (hibah disertai dengan imbalan) di antara pengendali takaful dan pengendali takaful adalah tidak dibenarkan.

Keputusan itu dicapai oleh Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia semasa mesyuarat ke-188 pada 30 Oktober lalu.

Menurutnya, secara prinsipnya, aplikasi konsep hibah bithawab adalah suatu bentuk tabarru` yang biasanya diamalkan untuk tujuan saling menghargai (mukaramah) dan berkasih sayang (widad).

Oleh itu, ia tidak sesuai untuk diaplikasikan dalam konteks perniagaan yang bermotifkan keuntungan kerana ia akan menukar konsep hibah bithawab daripada tabarrukepada muawadhat, kata BNM.

Sehubungan itu, hibah bithawab yang bermotifkan perniagaan dan keuntungan adalah tidak dibenarkan.

Sebaliknya, aplikasi kontrak tabarru` dalam takaful (dana risiko) yang berlaku sesama peserta untuk mendapatkan perlindungan takaful (tidak bermotifkan perniagaan/keuntungan secara substantif) adalah dibenarkan.

Tambahan pula, menurut BNM, konsep hibah bithawab yang melibatkan kedua-dua hibah dan obligasi thawab (imbalan) dalam bentuk wang boleh menjurus kepada transaksi yang mempunyai elemen riba dan konsep hibah bithawab tidak boleh diaplikasi atas dasar darurah atau hajah memandangkan terdapat konsep Syariah alternatif yang lebih sesuai bagi struktur model FinRe yang dicadangkan. – MalaysiaGazette