Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pengekalan penarafan kredit Malaysia oleh tiga agensi utama membuktikan kerajaan berada di landasan konsolidasi fiskal yang betul dan membuktikan ekonomi negara terus berkembang pada tahun lalu.

Lebih-lebih lagi apabila kerajaan berjaya mengutip cukai langsung tahun lalu sebanyak RM137 bilion, yang mana 51.1 peratus daripada semua kutipan cukai langsung adalah daripada cukai pendapatan syarikat.

Kerajaan telah berjaya mengutip Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak RM5.4 bilion untuk dua bulan terakhir tahun 2018, iaitu 34 peratus lebih tinggi daripada jangkaan kutipan asal RM4 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, peningkatan kutipan cukai dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan akan memastikan Malaysia berjaya memenuhi sasaran fiskal konsolidasinya.

Jawatankuasa Pembaharuan Cukai dan Jawatankuasa Kewangan Awam yang telah diwujudkan tahun lepas akan membantu Kerajaan mempelbagaikan asas pendapatannya serta melakukan konsolidasi fiskal tanpa terlalu membebankan rakyat ataupun menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Menurut beliau, agensi-agensi penarafan sebelum ini telah menyatakan kebimbangan tentang asas pendapatan yang berkurangan selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan dimansuhkan dan digantikan dengan SST.

Perkara ini sedang diatasi dan kesan usaha-usaha yang diambil dapat dilihat melalui pengutipan cukai langsung tahun 2018 yang memberangsangkan dan telah meningkat.

Guan Eng dalam kenyataan itu berkata, Moody’s dalam laporan pada Januari 2019 menyatakan pertumbuhan ekonomi negara akan terus berkembang secara lebih kukuh berbanding negara-negara yang mempunyai penarafan A dan kepelbagaian serta pengukuhan ekonomi Malaysia dapat mengurangkan sebahagian daripada kesan negatif paras hutang yang tinggi.

Laporan ini dikeluarkan selepas Moody’s pada 7 Disember 2018 memutuskan untuk mengekalkan kredit Kerajaan Malaysia pada taraf A3.

Fitch Ratings pula di dalam laporan bertajuk “Malaysia Budget Balances Wider Deficit with Transparency” menekankan Belanjawan 2019 “memenuhi sasaran konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana”.

Fitch menjangkakan “kadar hutang akan menurun dalam masa beberapa tahun akan datang jika KDNK secara amnya berkembang pada kadar 4.9% pada tahun 2019 dan 5.0% pada tahun 2020 seperti yang dikongsi oleh kerajaan”.

Fitch juga telah mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada ‘A-‘ dengan prospek stabil manakala S&P Global Ratings juga juga telah mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada A-. -MalaysiaGazette