Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun meluangkan masa melawat pusat mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 27 Rantau di Sekolah Kebangsaan Nyatoh, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 13 APRIL 2019.

SEREMBAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan parti-parti politik dan calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ini kerana, masih ada barong-barong panas ditempatkan di kawasan Pusat Daerah Mengundi di PRK itu.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, walaupun beliau sendiri menyuruh mereka memberhentikan meraih undi selepas 15 minit aktiviti panas itu dimulakan tetapi tidak diendahkan.

Beliau turut mendakwa ada penyokong parti membuka barong di tengah-tengah jalan senhingga mengganggu lalu-lintas.

“Perjalanan PRK lancar selepas saya melawat tiga pusat daerah mengundi cuma dari segi disiplin calon dan parti politik kurang memuaskan kerana barong panas masih dibina.

“Saya terpaksa memberi amaran sebanyak dua kali barulah mereka menghentikan aktiviti mereka, kemudian memulakan semula menggunakan telefon bimbit menyemak butiran daftar pengundi walaupun ia dilarang sama sekali.

“Semakan pengundi itu sebenarnya tak perlu kerana kita sudah hantar Voters Card (Kad Pengundi) yang dilengkapi segala butiran pengundi termasuk nombor saluran mengundi dan tidak perlu rujuk kaunter semakan.

“Malah, pengundi disediakan kemudahan menyemak butiran undi di laman web rasmi SPR, aplikasi SPR menerusi telefon bimbit , barong SPR sendiri di setiap pusat daerah mengundi,” katanya kepada media selepas melawat dan memantau proses mengundi di Sekolah Kebangsaan Nyatoh, Rantau tengah hari tadi.

Dalam perkembangan sama, Azhar berkata, keadaan masih terkawal tanpa insiden tidak diingini di kawasan pusat mengundi cuma terdengar sorakan penyokong kedua-dua parti bertanding.

“Saya telah mengarahkan beberapa kali kepada mereka untuk menghentikan berbuat demikian dan cuma penyokong mereka di luar kawasan 50 meter mengenakan pakaian baju politik tidak boleh merayu undi,” katanya lagi.

Menurutnya , arahan itu bagi mengelak pergaduhan atau insiden buruk berlaku.

“Kita tidak mahu kekecohan berlaku sehingga paksa mereka keluar dan hentikan aktiviti ini. Kita tidak mahu situasi ini bertukar menjadi gaduh, akhirnya pengundi tidak keluar undi atas faktor keselamatan.

“Oleh demikian, kita akan merakam peristiwa itu dan membuat laporan polis keesokan harinya dan biar mahkamah menentukan tindakan,” katanya. – MalaysiaGazette.