Seorang pengawal keselamatan menutup pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) yang ditutup hari ini kerana terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200.

KUALA LUMPUR – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat melebihi 200 setakat ini menyaksikan sebanyak 2,459 buah sekolah melibatkan 1,732,842 pelajar akan ditutup esok.

Kenyataan Kementerian Pendidikan malam ini berkata, ia melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun 800 buah sekolah akan ditutup selama sehari pada Khamis ini di empat negeri iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Mengikut pecahan di keempat-empat negeri itu, sebanyak 124 sekolah akan ditutup di Kedah diikuti Perak (250 sekolah), Negeri Sembilan (53 sekolah) dan Sarawak (373 sekolah).

Manakala daripada segi jumlah pelajar terlibat mengikut bilangan sekolah berkenaan adalah Kedah (58, 241 pelajar), Perak (88, 028 pelajar), Negeri Sembilan 28,073 pelajar dan Sarawak mewakili 157,466 pelajar.

Secara keseluruhannya, seramai 331,808 pelajar mewakili 800 sekolah dari keempat-empat negeri tersebut yang akan ditutup selama sehari pada 19 September ini.

Ia tidak termasuk pengumuman terdahulu Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik petang tadi bahawa semua sekolah di Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan ditutup selama dua hari bermula esok melibatkan 1659 buah sekolah dan 1,401,034 pelajar.

Jumlah sekolah dan bilangan pelajar yang terlibat dalam penutupan sehingga Jumaat ini mengikut pecahan di setiap negeri tersebut adalah di Pulau Pinang (399 sekolah dan 243,972 pelajar), Selangor (939 sekolah dan 911,874 pelajar), KL (296 sekolah dan 217,657 pelajar) dan Putrajaya ialah 25 sekolah merangkumi 27,531 pelajar.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Semua sekolah Selangor, P. Pinang, KL dan Putrajaya tutup esok