Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran ketat dengan kecenderungan meningkat pada minggu depan, apabila para pelabur mendapat rangsangan daripada kemajuan positif dalam perjanjian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan keputusan pilihan raya United Kingdon (UK) selain memantau dengan rapat beberapa data utama yang akan diumumkan minggu depan.

Harapan bagi penyelesaian perjanjian AS-China menjadi cerah apabila Presiden Donald Trump dalam ciapannya di laman Twitter beliau pada Khamis berkata “Getting VERY close to a BIG DEAL with China. They want it, and so do we!” (Semakin Menghampiri Capai PERJANJIAN UTAMA dengan China. Mereka mahukannya, begitu juga kami!”)

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata, berikutan itu pasaran optimistik bahawa perang perdagangan tidak akan terus berlarutan.

Ini terutamanya selepas laporan bahawa AS bersetuju dengan terma-terma ‘fasa pertama’ perjanjian perdagangan dengan China, justeru mengelakkan pusingan baharu tarif ke atas import barangan China bernilai U$160 bilion yang dijadualkan dilaksanakan Ahad.

Perunding bagi AS dan China dilaporkan berusaha selama berminggu-minggu untuk memuktamadkan ‘fasa pertama’ perjanjian perdagangan itu

Pong berkata data keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga akhir AS yang akan diumumkan minggu depan mungkin hanya akan memberi sedikit impak kepada pasaran, melainkan sesuatu yang buruk berlaku.

Jabatan Perdagangan AS baru-baru ini melaporkan bahawa KDNK AS meningkat pada kadar tahunan 3.4 peratus dalam bacaan ketiganya bagi pertumbuhan KDNK Suku-3, meningkat daripada bacaan kedua pada 2.1 peratus dan bacaan pertama pada 1.9 peratus.

Selain itu, pasaran juga menjangkakan kemas kini Indeks Pengurus Pembelian (PMI) dari AS dan juga beberapa negara.

UK juga akan mengumumkan angka akhir KDNK Suku-3 minggu depan, manakala Bank of England dijangka mengekalkan kadar faedah tidak berubah minggu depan sejajar dengan langkah Rizab Persekutuan baru-baru ini.

Di dalam negara, Jabatan Perangkaan Malaysia juga akan mengeluarkan data inflasi bagi November pada 20 Dis.

Sebelum ini Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.1 peratus kepada 122.0 pada Oktober 2019 berbanding 120.7 dalam bulan yang sama tahun sebelumnya.

United Overseas Bank (Malaysia) Bhd baru-baru ini berkata ia menjangkakan inflasi berada sekitar 1.1 hingga 1.3 peratus pada November dan Disember, sebelum meningkat melepasi paras 2.0 peratus pada 2020.

Ini akan menjadikan purata inflasi tahun penuh pada 0.8 peratus pada 2019.

Pong berkata mungkin hanya akan ada sedikit pelabur dan pengurus dana dalam pasaran berikutan cuti akhir tahun.

Menurutnya, pasaran juga menyaksikan kurangnya aktiviti mengelokkan akaun apabila para pelabur dilihat mencari faktor penolak.

“Sudah agak lewat bagi tahun ini untuk memulakan aktiviti mengelokkan akaun sekarang. Biasanya aktiviti mengelokkan akaun rancak pada pertengahan November, tetapi kita tidak melihatnya kali ini.

“Mungkin kita perlu menunggu saat-saat akhir pada penghujung tahun untuk melihat aktiviti mengelokkan akaun yang aktif,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, pasaran kebanyakannya tinggi selepas Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah tidak berubah seperti yang dijangkakan pada mesyuarat dasarnya pada Rabu dan membayangkan kadar itu akan kekal bertahan sepanjang 2020.

Saham berkaitan Petronas menjadi tumpuan sepanjang minggu ini apabila pengurus dana terus mencari kaunter tersebut susulan prospek baik bagi syarikat minyak nasional itu selepas menjual beberapa pegangan dalam anak syarikatnya.

Saham pembinaan seperti Ekovest dan Iskandar Waterfront City mendapat rangsangan selepas berita bahawa IWH-CREC, syarikat usaha sama antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Group Ltd (CREC), akan mengadakan majlis permeteraian perjanjian bagi pembangunan Bandar Malaysia pada Selasa depan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FTSE Bursa Malaysia (FBM) KLCI naik 2.72 mata kepada 1,571.16 daripada 1,568.44 sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 54.01 mata kepada 11,187.58, Indeks FBMT 100 naik 46.10 mata kepada 10,985.80, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 111.00 mata kepada 11,834.97, FBM 70 menambah 169.92 mata kepada 14,019.00 dan Indeks FBM Ace menokok 108.60 mata kepada 4,992.93.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 30.83 mata kepada 15,253.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.12 mata kepada 152.14, manakala Indeks Perladangan menokok 135.10 mata kepada 7,496.41.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 13.08 bilion unit bernilai RM9.47 bilion daripada 11.39 bilion unit bernilai RM8.09 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 9.43 bilion unit bernilai RM8.69 juta berbanding 7.45 bilion unit bernilai RM7.09 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.45 bilion unit bernilai RM228.34 juta berbanding 1.27 bilion unit bernilai RM249.43 juta sebelumnya.

Bagaimanapun, jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 1.85 bilion unit bernilai RM549.65 juta daripada 2.63 bilion unit bernilai RM748.41 juta. – MalaysiaGazette