Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar bercakap kepada media selepas membuat peninjauan pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Balai Polis Membakut, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 14 JANUARI 2020

KIMANIS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima tujuh laporan mengenai kesalahan pilihan raya sepanjang 11 hari kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis sejak 4 Januari lalu.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias, laporan salah laku di bawah Akta Pilihan Raya 1954 itu dilaporkan di Balai Polis Papar dan Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort.

“Ada tujuh kes sahaja, satu kes berkenaan Tahun Baru dan Hari Krismas dan satu lagi laporan menidakkan laporan yang dibuat yang pertama.

“Keduanya tentang kes gegantung di mana ada orang menurunkan gegantung parti dan sebagainya,” katanya pada sidang media di pekarangan Balai Polis Membakut hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak membuat tinjauan proses pengundian awal yang dibuka pada 8 pagi tadi di Balai Polis Membakut.

Dalam pada itu, Mohamed juga berkata, pihaknya telah menurunkan beberapa gegantung yang dinaikkan parti-parti bertanding kerana boleh menimbulkan ketegangan.

“Pemantauan oleh pasukan penguat kuasa kita setakat pagi tadi ada 3 kes sahaja iaitu berkaitan dengan pemasangan gegantung (menyerang) dan ia sudah diturunkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed memaklumkan bahawa daripada sembilan pengundi awal berdaftar, enam daripadanya telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 9.30 pagi tadi.

“Sehingga kini seramai enam pengundi awal telah membuang undi kita tunggu lagi tiga orang. Kita harap boleh dapat 100 peratus pada pagi ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette