RIYADH – Arab Saudi mungkin tidak lagi mampu bergantung kepada dividen tahunan hampir AS$75 bilion daripada syarikat minyak, Saudi Aramco selepas tahun 2021, melainkan harga minyak mentah meningkat.

Kerajaan Arab Saudi yang memiliki 98 peratus kepentingan dalam  Aramco terpaksa bergantung kepada dividen yang dibayar syarikat itu untuk membantunya mengurangkan bajet defisit.

“Kerajaan dilihat tidak lagi mampu mengulangi kaedah tersebut (bergantung kepada dividen Aramco) selepas 2021,” kata Moody’s Investors Service dalam laporannya.

Aramco sebelum ini telah bersetuju untuk membeli 70 peratus kepentingan syarikat pengeluar kimia daripada Public Investment Fund yang dimiliki kerajaan pada harga AS$69 bilion.

Syarikat minyak tersebut semasa tawaran awam permulaan pada 2019 berikrar untuk membayar US$75 bilion kepada pemegang saham bagi tempoh lima tahun pertama selepas disenaraikan.

Bagaimanapun, harga minyak mentah jatuh teruk akibat pandemik koronavirus dengan menyaksikan penurunan sebanyak 35 peratus tahun ini.

Dalam masa yang sama, Aramco terpaksa mengurangkan pengeluaran minyak sejajar dengan perjanjian yang telah dibuat bersama pengeluar-pengeluar minyak global bagi mengurangkan bekalan.

Bagi memastikan janjinya terhadap pembayaran dividen itu ditepati, pengeluar minyak tersebut terpaksa mengurangkan perbelanjaannya dan memberhentikan ratusan pekerja serta mengumumkan rancangan untuk menjual aset-aset bukan teras. – MalaysiaGazette