Istana Negara.- Gambar Hiasan.
KUALA LUMPUR – Penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) adalah kaedah terbaik yang boleh diambil oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah dalam menangani kemelut politik negara.
Cadangan ini, kata Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam adalah pendekatan paling sesuai dan tepat selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa sudah tidak mendapat sokongan majoriti.
”Pandemik Covid-19 yang dihadapi Malaysia membolehkan negara mengisytiharkan darurat kerana wabak ini memberi kesan kepada kesihatan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan.
”Jadi, Mageran boleh menjadi penyelesaian sementara dan berkesan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurutnya, jika Mageran diwujudkan semula, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab melantik Pengerusi Negara dan wakil-wakil parti politik yang dipercayai mampu menggalas tugas dan peranan tersebut.
Selain itu, barisan Mageran turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta wakil-wakil rakyat.
“Secara tidak langsung, rakyat tidak akan resah dan bimbang tentang ketidakstabilan politik atau ekonomi.
“Malah, mereka yang dilantik pula dapat memberi fokus kepada pemulihan ekonomi pasca Covid-19, memastikan sistem pendidikan dan kesihatan teratur dan kebajikan rakyat terbela,” tambah beliau lagi.
Ramlah berkata, apabila keadaan politik semakin stabil, barulah pemilihan pembentukan kerajaan baharu diserahkan kepada rakyat semula.
“Bukannya (Mageran) perlu mengambil masa lama, hanya sementara menunggu tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 kira-kira dua tahun lagi.
“Kalau tidak buat begini, negara terus kacau-bilau dengan macam-macam isu politik. Ini tidak bagus kepada rakyat dan negara,” tegas beliau.
Jelas beliau lagi, Malaysia ada pengalaman menubuhkan Mageran pada tahun 1969 dan tidak ada masalah untuk melaksanakannya sekali lagi.
Sekiranya, Mageran diwujudkan, beliau berharap pemilihan seluruh barisan pengurusan itu dipilih dalam kalangan terbaik, seiring dengan hasrat untuk menstabilkan negara.
Malaysia pernah menubuhkan Mageran 49 tahun lalu untuk menangani permasalahan yang timbul ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969.
Ketika itu Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengarah Mageran dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tunku Osman Mohd. Jewa, Tan Sri Mohamad Salleh, Leftenan Datuk Ibrahim Ismail, Presiden MCA dan Presiden MIC – MalaysiaGazette