Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bajet 2021 yang akan mengambil tempat 6 November depan di Dewan Rakyat perlu penglibatan bipartisan iaitu kedua-dua pihak kerajaan mahupun pembangkang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, kerajaan mahupun pembangkang perlu bersatu dalam memastikan pandemik Covid-19 yang kembali kuat melanda negara dapat ditangani dengan peruntukan-peruntukan yang akan mementingkan keperluan rakyat.

“Bersabit dengan Belanjawan 2021 yang akan dibentang kelak, ia harus menggembleng usaha dan peranan kedua-dua pihak (bipartisan) yakni kerajaan dan pembangkang dalam merencana strategi yang ampuh dalam menangani dampak pandemik COVID19, pengangguran dan juga masalah kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan satu muka surat hari ini.

Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini bertitah kepada semua pemimpin dan ahli politik supaya berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Semalam YDPA berpendapat tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak Covid-19.

Dalam pada itu Anwar berkata, PKR sebagai salah satu parti dalam Pakatan Harapan (PH) akan terus memperjuangkan sebuah sistem kerajaan yang bebas daripada rasuah dan sebarang penyalahgunaan kuasa.

“Peringatan dan penegasan Raja-Raja Melayu terkait penyalahgunaan kuasa dan prinsip keadilan tidak harus dipandang enteng, malah harus didukung oleh semua pihak yang punya kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan.

“PKR akan terus memperjuangkan agenda reformasi berpaksikan prinsip keadilan dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mendambakan sebuah tatanan (sistem) yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai,” katanya lagi.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Salahuddin Ayub hari ini juga berkata pembangkang bersedia dipanggil dan bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Bajet 2021.

Setiausaha penganjur DAP, Anthony Loke juga berkata pihaknya sedang menunggu Muhyiddin untuk mengadakan perbincangan rasmi mengenai Belanjawan 2021.

Katanya juga, Majlis Presiden PH telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan parti lain untuk membincangkan hal bajet itu. – MalaysiaGazette