Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan kelulusan yang diberikan untuk pembinaan Lapangan Terbang Kulim yang dibuat hasil Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri hanyalah kelulusan dari segi prinsip sahaja.

Katanya, masih banyak perkara yang perlu diteliti dan dipatuhi sebelum projek tersebut dapat dijalankan atau tidak.

Ini termasuk mendapatkan pertimbangan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Alam Sekitar, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan lain.

Menurut Ka Siong, kelulusan akhir bagi cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim hanya akan dipertimbangkan apabila Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) telah disiapkan.

Ia juga perlu patuh kepada semua syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain sepertimana yang dinyatakan dalam laporan-laporan teknikal seperti Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA), Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) dan sebagainya.

Kajian NASP akan dimulakan awal tahun depan melibatkan semua 42 lapangan terbang sedia ada dan cadangan pembinaan lapangan terbang baharu.

“Maka, penggerak projek Lapangan Terbang Kulim kelak akan diminta untuk memberi maklumat kepada pasukan perunding NASP berhubung unjuran-unjuran yang realistik dan tepat khususnya unjuran permintaan perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan Lapangan Terbang Kulim, lebih-lebih lagi dalam era pasca COVID-19.

“Asas cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim yang digunakan oleh penggerak projek adalah bagi menyokong pengendalian penumpang dan kargo yang disediakan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Sehubungan itu, pembinaan Lapangan Terbang Kulim adalah wajar dipertimbangkan setelah kapasiti pengendalian LTAPP mencecah kapasiti maksimum,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Ka Siong, dalam hal itu unjuran permintaan penumpang dan kargo mestilah bersandarkan kepada asas dan data yang kukuh serta tepat dengan mengambil kira pembangunan kapasiti maksimum LTAPP bagi memastikan kebolehlaksanaan projek pembinaan Lapangan Terbang Kulim.

Dua hari lalu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor dalam satu kenyataan media mengumumkan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim telah diluluskan semasa Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara.

Bagaimanapun perkara itu dipertikaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan.

“Saya tidak tahu sama ada kelulusan adalah perkataan yang tepat untuk digunakan.

“Majlis Perancang Fizikal Negara hanya memberi nasihat seperti Projek Tambakan Laut Pulau Pinang.

“Masih terdapat banyak perkara yang perlu dipatuhi sebelum anda boleh memulakan projek. Sama seperti Lapangan Terbang Kulim, ia adalah mekanisme yang sama,” katanya seperti yang dilaporkan media semalam.- MalaysiaGazette