Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkawal di kawasan asrama susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penulararan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Asrama Pekerja Top Glove, Meru. foto AFIQ HAMBALI, 17 NOVEMBER 2020.

KES baharu positif Covid-19 mencatatkan angka tertinggi harian apabila merekodkan 2,188 kes baharu positif semalam. Trend peningkatan secara mendadak sejak beberapa hari ini dilihat berpunca dari kluster tempat kerja. Misalnya, Selangor
merekodkan kes tertinggi, iaitu 1,623 kes di mana sebahagian besar daripada kes ini adalah berpunca dari Kluster Teratai, iaitu kluster membabitkan tempat kerja yang beroperasi di sekitar Lembah Klang. Justeru majikan perlu memainkan peranan yang
sewajarnya untuk membantu memerangi penularan wabak ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, setakat ini 119 kluster yang dilaporkan adalah berkaitan tempat kerja dengan 83 masih aktif sehingga kini. Seramai 77,201 individu sudah disaring daripada 119 kluster tersebut
dan 12,079 kes didapati positif, membabitkan 4,398 kes warga tempatan dan 7,681 kes lagi melibatkan warga asing.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menangani penularan wabak ini seperti menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tertentu namun jika para majikan tidak memberikan kerjasama yang
sewajarnya serta jika tidak menunaikan tanggungjawab mereka, tidak mungkin kita dapat mengekang penularan wabak ini.

Secara prinsipnya kejayaan semua strategi kawalan yang dilaksanakan oleh kerajaan banyak bergantung kepada kerjasama yang tinggi daripada majikan yang perlu merangkumi amalan dan cara kerja serta pematuhan pekerja terhadap semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Antara tanggugjawab majikan ialah, pastikan setiap pekerja sentiasa patuh kepada SOP seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, menggunakan pensanitasi tangan serta tidak berkumpul secara berramai-ramai terutamanya ketika waktu rehat dan makan. Dalam konteks ini majikan perlu menyediakan keperluan yang sewajarnya seperti, melaksanakan pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan pastikan yang bergejala tidak memasuki tempat kerja, menyediakan tempat mencuci
tangan dan pensanitasi tangan yang mencukupi serta kerap melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman terutamanya di ruang guna sama. Secara prinsipnya majikan bertanggungjawab menyediakan persekitaran kerja yang kondusif
dan selamat kepada semua pekerja.

Bagi organisasi yang boleh melaksanakan tugas secara bergilir serta para pekerja boleh bekerja dari rumah, maka majikan wajar memberikan kemudahan tersebut kepada pekerja mereka. Jangan memaksa semua pekerja hadir secara fizikal ke
pejabat pada setiap hari dan budaya mengadakan mesyuarat atau sebarang majlis membabitkan jumlah pekerja yang ramai pada ketika ini wajar dihentikan.

Bagi majikan yang mempunyai bilangan pekerja warga asing yang ramai serta menyediakan kemudahan penginapan, majikan perlu memikul tanggungjawab menyediakan tempat kediaman yang kondusif dan selamat. Majikan juga perlu memastikan para pekerja ini mengamalkan langkah-langkah pencegahan wabak
yang sewajarnya di kediaman mereka.

Oleh kerana amalan penjagaan kesihatan ini membabitkan soal sikap dan tingkah laku individu, maka majikan juga disarankan agar sentiasa mengadakan kempen kesedaran dan peringatan kepada semua pekerja terutamanya kepada pekerja warga
asing agar tidak alpa dan cuai dalam mengamalkan SOP yang telah ditetapkan. Dalam konteks ini, penulis juga ingin mengesyorkan agar majikan bertindak tegas dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pekerja yang dengan sengaja
melanggar SOP yang ditetapkan seperti sama ada memotong gaji, diarahkan cuti tanpa bergaji untuk suatu tempoh tertentu atau jika kesalahannya terlalu serius dan berulang maka wajarlah ditamatkan kontrak perkhidmatannya. Hal ini perlu agar ianya menjadi iktibar kepada pekerja lain di samping membuktikan kepada mereka betapa kita serius dalam menangani wabak ini.

Ironinya, tempat kerja dan kediaman pekerja berpotensi besar untuk menjadi pusat penularan pandemik ini jika tidak dikawal sepenuhnya. Harus diingat kita masih di medan perang di mana trend turun naik kes serta bilangan kes kematian semakin
membimbangkan. Justeru tidak boleh ada sebarang ruang lagi yang boleh mencetuskan kluster baharu sehingga boleh menganggu proses kawalan penularan wabak yang sedang giat dilaksakan oleh pihak berkuasa. Oleh itu besarlah harapan
kita agar para majikan akan memberikan kerjasama yang sebaiknya, sekali gus berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam usaha untuk mengekang dan menghentikan penularan wabak ini.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa