Gambar Hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 20 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Isu Permasalahan Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) telah mencetuskan fenomena nasional, kata Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.

Ia tercetus berikutan ketidaksamarataan akses internet dan masalah turut timbul berikutan kekurangan peranti teknologi untuk murid dan guru serta membebankan ibu bapa, terutama mereka di bawah kelompok B40 dan M40 yang terjejas berikutan penularan Covid-19.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, pihaknya telah menggesa syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat multi nasional (MNC), yayasan dan wakil rakyat menunjukkan solidariti dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat terutama menyelesaikan isu komunikasi internet serta PdPR.

“Di samping itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menyegerakan pemmbinaan Menara telekomunikasi termasuk melipatgandakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) serta memobilasikan logistik dan kenderaan pembekalan internet ke kawasan capaian internet yang ketidaksamarataan ini.

“Sepatutnya syarikat gergasi dan pertubuhan yang besar seperti GLC, MNC dan badan-badan yayasan harus tampil secara lebih proaktif dan bukannya responsif dalam amalan tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan menerusi Dapatan Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara dalam Talian (Online Learning), mendapati lebih 30 peratus pelajar, atau kira-kira 280,000 pelajar, tidak mempunyai peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Dapatan kajian yang merangkumi 670,118 responden terdiri daripada ibu bapa kepada 893,331 pelajar turut menunjukkan enam peratus pelajar memiliki komputer peribadi, 9.3 peratus pelajar memiliki komputer riba, 5.8 peratus pelajar memiliki tablet dan 46.5 peratus pelajar memiliki telefon pintar.

“Ini adalah dapatan kajian pertengahan tahun 2020 yang sepatutnya disediakan lebih awal dalam mengendalikan krisis komunikasi pendidikan bagi pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya.

Dalam hal ini, katanya, Kerajaan harus dipuji kerana telah melaksanakan pelbagai usaha yang hebat menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) serta Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Walaupun kerajaan telah melanjutkan semula pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2021 serta tempoh capaian internet percuma sebanyak 1 Gigabit untuk melayari laman web, usaha murni ini perlu dipuji jua kepada industri telekomunikasi yang dapat meringankan beban rakyat, ujarnya.

Menurut Razali, isu PdPR, tahap capaian internet serta sistem pendidikan negara perlu diperkasakan atau dirombak semula menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia kerana ia boleh mempengaruhi prospek hidup dan mobiliti sosial jangka masa panjang. -MalaysiaGazette