GEORGE TOWN – Walaupun jumlah kes positif Covid-19 di Pulau Pinang mencatatkan tiga angka namun masih ramai rakyat di negeri ini dilihat gagal mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan MalaysiaGazette di Persiaran Karpal Singh di sini mendapati kesedaran masyarakat memakai pelitup muka di kawasan awam masih rendah walaupun menyedari risiko penularan Covid-19 masih ada.

Rata-rata individu bukan saja dilihat tidak memakai pelitup muka malah berkumpul tanpa memastikan jarak sesama sendiri.

Bagaimanapun, masih ada segelintir individu yang terus setia memakai pelitup muka di kawasan tersebut dan hanya menanggalkannya ketika mahu minum atau makan.

Peniaga aiskrim yang ingin dikenali sebagai Azam, 49, berkata, kebanyakan ibu bapa yang membawa anak mereka bersiar di sini gagal memastikan kanak-kanak itu mematuhi SOP.

Ibu bapa gagal memastikan kanak-kanak yang dibawa mematuhi SOP bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Adakalanya bila kanak-kanak itu datang membeli aiskrim saya tegur, baru mereka (ibu bapa) nak pakaikan pelitup muka namun ada juga yang marah dan beredar tanpa membeli akibat ditegur.

“Bagi saya semua orang kena patuh baru kita boleh hidup bebas macam dulu, saya tidak mahu berdepan semula PKP kerana impaknya sangat besar terutamanya bagi peniaga kecil macam saya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, penuntut universiti swasta, Balqis Saiful, 19, berkata, adakalanya dia terlupa untuk menjaga jarak satu meter ketika berada di tempat awam.

“Sudah biasa duduk berkumpulan jadi bila keluar ramai-ramai saya leka untuk mematuhi SOP berkenaan.

“Bila dengar kompaun naik tu memang rasa nak kena patuh sentiasa tapi bila lihat orang ramai kumpul macam biasa jadi saya pun leka dan terikut,” ujarnya.

Tidak memakai pelitup muka serta duduk secara berkumpulan antara yang dilakukan orang awam ketika melepak di Persiaran Karpal Singh di sini.

Pada 24 Februari lalu, MalaysiaGazette melaporkan kerajaan negeri Pulau Pinang mungkin akan melaksanakan langkah secara bersasar terhadap kilang bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat dan dapat meratakan keluk Covid-19.

Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, walaupun sektor industri itu menyumbangkan 50 peratus kes Covid-19 di negeri ini, ia tidak mencerminkan keseluruhan industri tersebut memandangkan kes berkisar membabitkan kilang yang bergelut untuk membendung pandemik itu.

Pihak pengurusan kilang berkenaan perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan pematuhan ketat SOP untuk menghentikan penularannya.

Jika keadaan di kilang ini tidak bertambah baik, Kerajaan Negeri mungkin akan meneroka langkah-langkah secara bersasar untuk memastikan kerjasama mereka,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette