Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai serta yang lain menunjukkan gambar rampasan dadah dan peralatan memproses dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Aktiviti seorang lelaki tempatan yang digelar ‘Tok Guru’  kerana mengambil upah ribuan ringgit untuk sesi mengajar kaedah memproses dadah menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp akhirnya terbongkar.

Kegiatan suspek berusia 56 tahun itu dihidu polis susulan penahanan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan pada 16 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki dan wanita berkenaan ditahan  kerana menjalankan kegiatan pengedaran dadah dengan menjadikan taman permainan kanak-kanak di Bandar Baru Sentul sebagai ‘port’.

Katanya, serbuan dan pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek berusia 30-an itu polis berjaya menemui dadah jenis methaphetamine atau syabu seberat 51.80 gram dan dadah jenis ganja seberat tiga gram.

“Berpandukan arah daripada suspek lelaki, Polis Narkotik Sentul telah membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah pangsapuri di Bandar Baru Sentul dan membawa kepada penemuan dadah jenis methaphetamine seberat 150 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pagi ini.

Tambah Eng Lai, polis telah menjalankan soal siasat ke atas dua-dua suspek tersebut sebelum menyerbu sebuah rumah di Bandar Puchong, Selangor, pada 17 Mei lalu.

Dalam serbuan itu,polis menahan enam lagi individu terdiri daripada dua keluarga kenalan rapat iaitu tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 65 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di rumah tersebut menemukan dadah jenis methaphetamin seberat 370 gram dan pemeriksaan seterusnya berjaya menemui bahan kimia yang dipercayai bahan utama bagi memproses dadah jenis methaphetamine seperti Acetone, Methanol, Hydrogen Peroxide serta perkakasan rod kaca, alat penitis, corong turas berkaca, alat penimbang dan alat pemanas elektrik.

“Daripada tangkapan enam suspek itu, polis melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah di Setapak, di sini, pada 17 Mei lalu dan menahan seorang lelaki berusia 56 tahun bergelar ‘Tok Guru’ yang dipercayai mempunyai kepakaran dalam memproses dadah.

“Hasil maklumat diperolehi daripada suspek berkenaan membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah di Jalan Gombak yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah.

“Polis juga merampas bahan kimia serta perkakasan yang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis methaphetamine,” katanya.

Suspek mengaku mengambil upah sebanyak RM5,000 bagi setiap sesi pengajaran kelas mengenai cara-cara memproses dadah menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp.

Eng Lai berkata, polis juga mendapati ‘Tok Guru’ berkenaan mempelajari ilmu serta cara-cara memproses dadah menerusi media sosial,  turut memproses dadah sendiri di rumahnya.

Suspek mengaku terlibat secara aktif dalam kegiatan memproses dadah sejak tahun 2019 dan jumlah rampasan dadah dalam semua serbuan berkenaan dianggarkan bernilai RM57,330 dan ia boleh dibekalkan kepada 1,422 penagih.

Semakan mendapati lapan daripada sembilan suspek yang ditahan mempunyai rekod berkaitan dadah, manakala ‘Tok Guru’ tidak mempunyai sebarang rekod.

Kesemua suspek kini telah direman sejak 18 Mei lalu hingga sehingga 28 Mei ini untuk siasatan di bawah  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette