Badrol Shah Abdul Manan kehilangan isterinya, Farah Seila Mazlan (kiri) akibat Covid-19.

KUALA LUMPUR – Pelakon kerdil, Badrol Shah Abdul Manan akhirnya kehilangan isteri, Farah Seila Mazlan selepas Allahyarham disahkan meninggal dunia pukul 8.15 pagi tadi.

Farah Seila, 37, pergi buat selama-lamanya selepas 45 hari bertarung nyawa akibat Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Kata Badrol, 39, dia dan anak-anak reda dengan pemergian wanita itu.

“Isteri saya telah menghembuskan nafas terakhir jam 8.15 pagi tadi dan saya masih berada di HKL bagi menguruskan jenazah.

“Bagaimanapun belum pasti lagi jenazah akan dikebumikan di mana.

“Apa pun saya dan anak-anak reda dengan pemergiannya,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada media.

Nama Badrol pernah mengundang perhatian ramai selepas dia berkongsi berita dukacita atas ‘pemergian’ isterinya melalui media sosial.

Katanya, Allahyarham meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19 Varian Delta.

Farah Seila yang juga guru agama di Sekolah Rendah Agama Lembah Keramat Kuala Lumpur disyaki dijangkiti virus tersebut ketika berada di sekitar kawasan perumahan.

Bagaimanapun, Badrol memaklumkan beberapa jam kemudian bahawa dia menerima maklumat salah serta isterinya masih hidup tetapi sedang kritikal di ICU HKL.

Pelakon itu dan isterinya berkahwin pada 2017, melalui hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan seorang anak perempuan Putri Da’aiyatul Insyirah, 2 tahun.

Allahyarham sebelum itu pernah berkahwin dan dikurniakan tiga anak perempuan iaitu Putri Farah Nordina Dania, 12, Putri Farah Nordina Zawana, 11, dan Putri Farah Norhaziqah, 7, yang turut dijaga Badrol. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast