Sebahagian Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia menunjukkan poster tuntutan pada Majlis Pelancaran Kempen Tuntutan Hak Penghantar Malaysia di Dataran Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan mengiktiraf pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing sebagai pekerja.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengiktirafan itu bagi membolehkan individu yang bekerja penghantar makanan itu dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 dan akta berkaitan.

“Kita akan mencadangkan kepada kerajaan status individu yang terbabit dengan industri e-hailing dan p-hailing diiktiraf sebagai pekerja, sekali gus dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 dan akta-akta berkaitan.

“Ini perkara pokok yang mereka sudah perjuangkan sejak 2015. Ini antara perkara yang kita akan bawa ke peringkat kerajaan untuk diambil perhatian secara serius.

“Status sebagai pekerja inilah sebenarnya ia membawa kepada pelbagai isu lain termasuk hak kebajikan, perlindungan dan keselamatan,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Tuntutan Hak Penghantar Malaysia dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Penghantar dan wakil-wakil Kesatuan p-Hailing dan e-hailing di Ibu Pejabat UMNO.

Rundingan meja bulat itu bagi membincangkan permasalahan serta isu-isu berbangkit melibatkan pengiat ekonomi gig di dalam negara.

Asyraf Wajdi berkata, kerajaan perlu mewujudkan sebuah badan kawal selia yang mengkaji keperluan peraturan lebih adil dan realistik untuk penyedia perkhidmatan dan penghantar.

“Kerajaan juga perlu memastikan kaedah terbaik untuk penyedia perkhidmatan menyediakan perlindungan sosial.

“Ini termasuklah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) buat penghantar-penghantar di Malaysia,” katanya.

Selain itu, Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan agar kerajaan memberi dan menyediakan bantuan khas kepada penghantar-penghantar di dalam Bajet 2022 akan datang.

“Dulu kira ada bantuan khas RM500 kepada pemandu e-hailing, tetapi hakikatnya yang ramai pada hari ini adalah p-Hailing, penghantar makanan daripada pelbagai syarikat.

“Mereka juga perlu diberikan keutamaan, mereka juga tak minta banyak, cuma perhatian khas.

“Insya-Allah kita akan bawa perkara ini kepada Kementerian Kewangan dalam masa terdekat,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak penyedia perkhidmatan untuk menjamin pekerjaan penghantar-penghantar dengan menangguhkan penggantungan dan penamatan khidmat penghantar-penghantar dalam tempoh pandemik ini.

“Kita juga buat keputusan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas di bawah Sekretariat Hal Ehwal Pekerja, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan kerjasama MTUC serta semua Persatuan p-Hailing dan e-hailing seluruh Malaysia.

“Kita ingin membawa satu suara untuk mengangkat isu-isu yang menyentuh soal kebajikan, keselamatan dan keadilan kepada pekerja-pekerja, terutamanya yang terlibat dalam gig ekonomi ini,” katanya. – MalaysiaGazette