Dadah yang ditemui ketika Ops Sarang Penagih sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua penagih dadah yang sedang menjalani program pemulihan di fasiliti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dilayan seperti pesakit yang perlu dirawat secara menyeluruh menerusi Model i-Pulih AADK.

Menurut AADK, keluarga tidak harus berasa malu dan menyembunyikan permasalahan dadah dalam kalangan keluarga, malah perlu menjadikan bantuan rawatan dan pemulihan dadah sebagai salah satu kaedah untuk mengeratkan kasih sayang.

“AADK komited memperluaskan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dual diagnosis melibatkan isu penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental peringkat awal di semua fasiliti AADK termasuk Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara.

“AADK menyeru agar semua pihak yang mempunyai masalah penagihan atau penyalahgunaan dadah dan substan untuk merujuk AADK dengan kadar segera.

“AADK sentiasa memberi peluang kepada semua pihak untuk menerima rawatan dan pemulihan supaya dapat kembali dan berfungsi dalam masyarakat,” katanya AADK dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini negara digemparkan dengan bertindak kejam seorang lelaki memenggal kepala ibu kandungnya sehingga maut di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor pada Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak empat tahun lalu.

Selain ujian saringan air kencing positif dadah, semakan lanjut mendapati suspek turut memiliki satu rekod lampau berkaitan kes ugutan pada 2014.

Dalam pada itu, AADK juga menyeru supaya masyarakat tidak memandang serong terhadap individu yang sedang menjalani proses rawatan dan pemulihan AADK.

“Sekiranya anda atau orang yang dikenali terlibat dalam permasalahan dadah sila dapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Pegawai Pemulihan AADK.

“Orang ramai juga boleh hadir ke Pejabat AADK yang berhampiran atau hubungi Hotline AADK di talian 03-8911 2233 atau 019-626 2233,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette