Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir mendengar keputusan akhir pendakwaan bagi pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 24 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memilih memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi sejurus selepas diarahkan membela diri terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang dana Yayasan Akal Budi miliknya.

Presiden UMNO itu akan memberi keterangan dari tempat saksi dan pendakwaan juga berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Ahmad Zahid yang merupakan mantan Timbalan Perdana Menteri  itu telah mula dibicarakan atas dakwaan rasuah dana Yayasan Akal Budi yang bernilai berjuta-juta ringgit sejak penghujung 2019 sehingga tahun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan keputusannya berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie terhadap kesemua pertuduhan yang sedang dihadapi oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Jelas Collin, ia juga pernilaian maksimum pihaknya terhadap bukti-bukti yang telah dikemukakan oleh pendakwaan sepanjang perbicaraan selama hampir tiga tahun itu.

Sepanjang Collin membacakan keputusan, Ahmad Zahid bersama-sama keluarganya dalam mahkamah kelihatan tenang.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Manakala lapan tuduhan rasuah pula, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Collin ketika ini sedang menetapkan tarikh-tarikh bagi prosiding bela diri yang dipercayai akan bermula antara Mac atau April tahun ini juga.- MalaysiaGazette

BERITA LANJUT MENYUSUL..

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast