KUALA LUMPUR – Umpama pisang goreng panas – tiket komposer muzik dan penyanyi tersohor India, Harris Jayaraj yang bakal mengadakan konsert terulungnya di negara ini pada Januari depan telah terjual tidak sampai 10 jam selepas dibuka semalam.
Sebanyak 8,988 tiket terjual sejak Jumaat lepas.
Penganjurnya, Malik Streams Corporation diterajui oleh Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, pihaknya kini dalam perbincangan sama ada mahu menambah sehari lagi konsert itu bagi memenuhi permintaan luar biasa peminat di negara ini.
“Konsert ini kali pertama oleh Harris, sememangnya peminat di negara ini sungguh teruja, telefon saya sendiri tidak berhenti berbunyi sejak beberapa hari ini supaya kita dapat adakan sehari lagi bagi menampung jumlah peminat yang luar biasa ini.
“Bertemakan Hearts of Harris kita akan adakan konsert gilang gemilang ini di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 21 Januari 2023 jam 7 malam. Menariknya, ini adalah persembahan terulung dari beliau dan kita sendiri teruja apabila Harris bersetuju untuk adakan konsert sulungnya di Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Konsert Harris itu dijangka turut disertai beberapa artis dalam dan luar negara, pemuzik, penari dan lain-lain dengan nama besar seperti Andrea Jeremiah, Benny Dayal, Hari Charan, Vijay Prakash, Srinha dan ramai lagi.
Abdul Malik juga ‘menjanjikan’ sesuatu yang istimewa dan unik dalam konsert Harris ini.
“Konsert ini pastinya akan menggamit pelbagai memori indah kepada para peminat malah kita janji sesuatu yang unik dan istimewa kali ini, lain daripada yang lain khas dari Malik Streams. Yang penting peminat kita terhibur, itulah kepentingan dan fokus kita,” ujarnya.
Harga tiket bermula antara RM95sehingga RM1,200 dan dijual di www.ticket.asia. – MalaysiaGazette