KUALA LUMPUR – Manis mengenakan yukata sambil memegang payung sakura merah jambu, menikmati hidangan sushi dan mengasah bakat membuat origami, kirigami dan bermain kendama.
Selain itu, peluang mencuba permainan tradisional, pameran kebudayaan, tayangan filem Jepun, gerai jualan serta aroma masakan autentik Jepun bagaikan berada di negara matahari terbit.
Itulah yang dialami oleh para pengunjung ‘Nihon Matsuri’ atau Festival Jepun yang berlangsung buat pertama kalinya di Ruang Legar Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Acara kebudayaan ini merupakan kerjasama antara Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Muzium Pengurusan UUM, Pusat Budaya dan Seni serta Japanese Language and Cultural Club UUM.
Ia bertujuan untuk memberikan pengalaman mengenali budaya Jepun kepada warga UUM dan masyarakat sekitar.
Pengunjung yang juga Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Acara, Mustika Misnari berkata, pesta kebudayaan seumpama ini dapat sambutan meriah dan menarik perhatian warga kampus serta masyarakat setempat termasuk pelajar sekolah dan institusi pendidikan tinggi sekitar negeri Kedah.
“‘Nihon Matsuri’ memang seronok, saya dapat belajar banyak perkara tentang budaya dan cara hidup masyarakat Jepun dari aspek pemakanan, permainan, pakaian, kaligrafi, dan bahasa,” ujarnya.
Bersama kawan-kawan melawat reruai Nihon Matsuri, matanya tertarik pada gerai pakaian tradisional Jepun, yukata yang biasanya dipakai pada musim panas.
“Sekilas pandang saya ingatkan seperti kimono, rupanya yukata.
“Saya sangat teruja melihat cara orang Jepun mengenakan yukata dan bertambah seronok apabila berpeluang memakainya, sungguh cantik dan sopan,” katanya.
Yukata merupakan pakaian tradisional Jepun yang diperbuat daripada fabrik seperti kapas. Fabriknya yang tipis dan hanya selapis sesuai dikenakan di musim panas.
Ini berbeza dengan kimono yang berlapis-lapis dan diserikan dengan obi berupa kain pengikat pinggang yang menjadikannya sangat menarik.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, Dasar Pandang ke Timur yang telah diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan prestasi dan etika kerja di Malaysia, masih relevan hingga ke hari ini.
Menurut Haim Hilman, dasar itu harus kekal sebagai asas kepada strategi dan usaha memacu negara ke hadapan.
“Tahun 2022 menandakan genap 40 tahun Dasar Pandang ke Timur sejak diperkenalkan pada tahun 1982.
“Banyak pencapaian dalam bidang ekonomi dan sosial telah dicapai melalui pelbagai kerjasama yang diwujudkan antara Malaysia dan Jepun.
“Melalui Dasar Pandang Ke Timur, kita telah membuka jalan peluang kolaborasi antara Malaysia dan Jepun, yang meliputi pelbagai bidang termasuk bidang pendidikan.
“Antaranya, kita menghantar pelajar, ahli akademik, dan pegawai kerajaan ke Jepun untuk menimba ilmu dan pengalaman yang boleh dibawa balik dan diterapkan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Nihon Matsuri menjadi permulaan kepada kerjasama berterusan yang akan meningkatkan hubungan baik antara Jepun dan UUM pada masa hadapan selain menyatakan komitmen UUM untuk mengembangkan lagi hubungan ini.
Manakala, Konsul – General Jepun di Pulau Pinang, Kawaguchi Yoshiyasu berkata, program seperti ini mampu memberi pendedahan kepada warga UUM tentang penerapan budaya dan nilai positif serta etika masyarakat Jepun yang menjadi tunjang kepada Dasar Pandang ke Timur.
Beliau berbesar hati kerana Nihon Matsuri mendapat sambutan menggalakkan dan menarik minat pengunjung sebagai salah satu usaha untuk merapatkan lagi hubungan antara Jepun dan Malaysia.
“Nihon Matsuri mempromosikan budaya Jepun dalam kalangan warga kampus dan rakyat Malaysia selain menggalakkan lagi pertukaran budaya antara Jepun dan Malaysia,” katanya.
Beliau berharap agar Nihon Matsuri bukan sekadar sambutan merayakan kejayaan lalu dalam Dasar Pandang ke Timur tetapi menjadi asas baru bagi memahami dan menjadi nilai tambah kepada kerjasama antara dua negara pada masa hadapan. – MalaysiaGazette