Home Utama Mahkamah tolak permohonan reman pegawai kanan polis

Mahkamah tolak permohonan reman pegawai kanan polis

KUANTAN – Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini, menolak permohonan reman terhadap seorang pegawai kanan polis yang yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menolak permohonan reman dengan alasan SPRM menahan suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) yang sepatutnya digunakan Seksyen 49 Akta SPRM 2009.

Prosiding permohonan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala suspek diwakili peguambela, Datuk Bob Aramugam.

Menurut peguambela itu, mahkamah tidak boleh menggunakan Seksyen 117 KPJ bagi kes SPRM berikutan suruhanjaya itu perlu menggunakan akta sendiri berkaitan kes SPRM.

Bob Arumugam ketika ditemui mengatakan pihak SPRM boleh mengkehendaki suspek menandatangani bon atau ikat jamin jika mereka tidak dapat menyelesaikan siasatan.

“SPRM hanya mempunyai masa 24 jam untuk melengkapkan siasatan mereka sebelum membebaskan suspek,selepas permohonan reman mereka ditolak mahkamah.

“Ini bermakna SPRM boleh menahan anak guam saya sehingga jam 4 petang ini bagi tujuan siasatan,” katanya.

Tiada kompromi pegawai polis terlibat salah laku – KP Pahang

Suspek dibawa keluar diiring oleh dua Pegawai Penyiasat SPRM pada jam 10 pagi selepas sejam prosiding dijalankan.

Semalam, SPRM Pahang menahan seorang Ketua Polis Daerah di negeri ini kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut di sekitar daerah kawalannya.

Pegawai kanan polis berusia 53 tahun ditahan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM1 juta antara 2017 hingga 2022.

Bayaran rasuah tersebut disyaki bagi melindungi pusat-pusat hiburan dan pusat-pusat urut daripada sebarang penguatkuasaan yang boleh mengganggu perniagaan-perniagaan ini.

Sementara itu, menurut sumber SPRM, suspek akan dilepaskan dengan bon jaminan SPRM. – MalaysiaGazette

Ketua polis daerah Pahang disyaki terima suapan RM1 juta