MELAKA – Tiada unsur penderaan atau pengabaian dikesan terhadap kematian bayi perempuan berusia 11 bulan yang dipercayai akibat tersedak susu di rumah pengasuhnya pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal setakat ini tidak menemukan kedua-dua unsur berkenaan.
“Susulan itu, pengasuh wanita berusia 34 tahun itu tidak ditahan polis namun siasatan lanjut masih dijalankan sehingga mendapat laporan penuh hasil bedah siasat.
“Setakat ini kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia, dipercayai tersedak susu ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di Rumah Awam Ayer Molek, Duyong.
Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali Zaidah, 35, berkata, dia mendapat berita sedih itu daripada pengasuhnya itu sekitar pukul 11 pagi memberitahu, anak sulungnya itu sudah tidak sedarkan diri dengan badan sudah kebiru-biruan.
Bayi itu kemudian disahkan meninggal dunia selepas usaha menyelamatkannya melalui bantuan pernafasan CPR selama 40 minit tidak menunjukkan sebarang reaksi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: