Syaiful Rizal (kanan) melawat Mazlan dan Rahayu di rumah mereka di Kampung Cabang Tiga Batu Jong, Kuala Krai untuk menyampaikan sumbangan meringankan beban.

KUALA KRAI – Antara sekolah dan keluarga. Itulah dua pilihan yang membelenggu nasib seorang anak apabila terpaksa mengabaikan persekolahan demi menjaga kedua ibu bapanya yang sakit.

Perkara itu dialami pelajar tingkatan dua, Muhammad Adam Aizad Mazlan di Kampung Cabang Tiga Batu Jong, dekat sini, yang mana ibunya, Rahayu Daud, 49, hilang penglihatan sebelah mata akibat komplikasi penyakit buah pinggang tahap lima, kencing manis dan darah tinggi.

Manakala ayahnya, Mazlan Latif, 59, yang diserang angin ahmar setahun lalu, lumpuh sebelah tubuh, selain turut menghidapi penyakit tiga serangkai.

Kisah penghidupan Muhammad Adam yang menjaga kedua orang tuanya mendapat perhatian Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang segera menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban ditanggung keluarga malang itu.

Bantuan sebanyak RM5,000 disampaikan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani yang bergegas dari Kuala Lumpur ke rumah keluarga itu di Kuala Krai, agar permasalahan persekolahan Muhammad Adam turut diselesaikan, di samping kesihatan kedua ibubapanya.

“Kita terpanggil membantu pasangan suami isteri yang menderita sakit ini yang tidak lagi mampu meneruskan kerja mencari rezeki disebabkan penyakit dihidapi dua mereka.

“Lebih menyedihkan, anak mereka, Muhammad Adam yang masih belajar terpaksa menjaga keluarga, di samping perlu menumpukan persekolahannya,” katanya yang mengunjungi keluarga itu di Kelantan hari ini.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Menurut Syaiful Rizal, dengan bantuan itu diharapkan dapat mengurangkan beban Rahayu dan suami bagi membiayai kos rawatan pemeriksaan susulan, dialisis dan ubat-ubatan memandangkan mereka tidak mempunyai sumber pendapatan.

Beliau mewakili pengurusan dan warga YBR berharap keluarga itu diberi kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan termasuk Muhammad Adam dapat menumpukan pelajaran dan menjadi seorang anak yang berjaya kelak.

“Rahayu hilang penglihatan sebelah mata kiri, manakala mata kanannya pula rabun menyebabkan ibu ini tidak dapat bekerja untuk menyara keluarganya.

“Muhammad Adam pula masih bersekolah di tingkatan dua, tetapi terpaksa menguruskan kedua ibu bapanya dengan membahagi masa antara mengulangkaji pelajaran dan menjaganya.

Sementara itu, Rahayu menzahirkan rasa terharu dengan bantuan YBR yang dapat meringankan kehidupan mereka dalam membeli barang keperluan untuk suami seperti susu khas dan kos dialisis.

Dalam perkembangan lain, YBR turut menyampaikan sumbangan RM2,500 kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM), Muhammad Khairulnizam Mat Soom, 20, yang akan melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menurut Syaiful Rizal, pelajar itu berjaya melanjutkan ke IPT, tetapi menghadapi kekangan kewangan untuk membeli komuter riba bagi kegunaan sepanjang pengajiannya.

Katanya, komputer riba ketika ini penting bagi seseorang penuntut kerana sistem pembelajaran kini ke arah pendigitalan.

“YBR sentiasa memberi sokongan kepada pelajar dari keluarga B40 dalam membantu mereka meringankan beban agar dapat meneruskan pengajian ke menara gading.

“Sumbangan ini disampaikan kepada Muhammad Khairulnizam di rumahnya di Jalan Halimah Guchil 1, Kuala Krai,” katanya.

Sepanjang tahun lalu, YBR telah memperuntukkan hampir RM500,000 bagi pemberian sumbangan membantu mereka kurang bernasib baik agar dapat meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan.

Orang ramai yang hendak menghulur bantuan kepada Rahayu dan keluarganya boleh menyalurkan bantuan di akaun Bank Islam bernombor 03072022201780 atas nama Rahayu Daud. – MalaysiaGazette