Awang Adek Hussin

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merancang untuk mengguna pakai piawaian global yang ditetapkan Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) untuk memastikan kemampanan menjadi sebahagian penting dalam syarikat tempatan, kata Pengerusi, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata, pada masa sama, pihak bercadang untuk menyesuaikan piawaian itu agar sejajar dengan keperluan tempatan.

“Malaysia berada di satu persimpangan dalam pembangunan sumber tenaga boleh baharu domestik serta pasaran karbon, justeru, kita tidak boleh gagal daripada memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).

“Kita perlu menggunakan sepenuhnya peluang yang ada,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Masa Depan Perniagaan 2023 di sini, pada Rabu.

Beliau turut memuji pelancaran platform pelaporan kemampanan berpusat untuk firma Malaysia memaklumkan data ESG mereka oleh Bursa Malaysia dan Bursa Saham London, dengan mengatakan inisiatif itu adalah satu langkah yang positif.

Awang Adek berkata tambahan pula, sinergi dan penjajaran antara prinsip syariah dan ESG adalah bersesuaian antara satu sama lain secara semula jadi.

“Sudah pasti Malaysia berada pada kedudukan unik untuk menerajui kewangan mampan dengan memanfaatkan kepakarannya dalam Pasaran Modal Islam (ICM).

“Rangka kerja kawal selia kami seperti Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), Rangka Kerja Sukuk Berkaitan SRI dan Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf, menunjukkan komitmen kami terhadap agenda kemampanan dan ICM,” katanya.

Beliau berkata wakaf ialah penyelesaian inovatif dan pemangkin kewangan sosial yang seiring dengan komitmen terhadap amalan mampan. – BERNAMA