Poster ‘Coolie’ pertunjukan belon udara panas di Dataran Merdeka esok.

KUALA LUMPUR – Demam filem Tamil paling dinanti tahun ini, Coolie lakonan pelakon legenda perfileman India, Rajnikanth kini semakin terasa apabila peminat di Malaysia turut menyambut kehangatannya penuh keterujaan.

Menjelang tayangan rasmi pada 14 Ogos 2025, pelbagai inisiatif promosi telah digerakkan termasuk acara berskala besar yang bakal mencatat sejarah tersendiri buat industri filem Tamil di negara ini.

Di Malaysia, pengedaran dan hak tayangan eksklusif Coolie di Malaysia dikendalikan oleh Malik Streams Corporation, sebuah nama yang tidak asing lagi dalam memasarkan filem-filem blockbuster antarabangsa.

Menurut ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Abdul Malik Dashtiger, pihaknya komited untuk memberi pengalaman luar biasa buat peminat Rajinikanth yang juga sinonim dengan gelaran Thalaivar itu.

Justeru itu, Malik Streams akan menganjurkan pelancaran belon udara panas terbesar sesuatu yang unik dan belum dibuat di negara ini.

Acara gilang-gemilang ini bakal berlangsung pada esok iaitu 3 Ogos 2025,] bermula 5 petang di Dataran Merdeka di sini dan dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Ia dijangka menjadi tumpuan ribuan peminat dari seluruh negara yang ingin menyaksikan langit ibu kota diterangi dengan simbolik meraikan kehadiran Coolie.

Abdul Malik menyifatkan penganjurannya sebagai satu penghormatan buat Rajinikanth dan seluruh produksi filem Coolie di samping mencipta sejarah baharu dalam cara promosi filem Tamil di Malaysia.

“Sebagai peminat Thalaivar yang tegar, pastinya Malik Streams akan all out untuk filem ini. Ia bukan sekadar tayangan biasa tetapi satu fenomena yang bakal menggegarkan pawagam kita tidak lama lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Datuk Abdul Malik Dasthigeer

Selain itu, dalam artikel sebelum ini, Abdul Malik menyatakan pihaknya menyasarkan kutipan box office di Malaysia sahaja boleh mencecah RM60 juta memandangkan populariti luar biasa Rajinikanth yang merentas kaum di negara ini.

Coolie terbitan Sun Pictures yang diketuai oleh penerbit terkenal Kalanithi Maran, menampilkan barisan pelakon hebat dari pelbagai latar industri filem India. Rajinikanth memegang watak utama sebagai Deva manakala aktor veteran Nagarjuna membawa watak Simon.

Sathyaraj memainkan peranan sebagai Rajasekar sementara Upendra muncul sebagai Kaleesha. Filem ini turut dibintangi oleh Shruti Haasan sebagai Preethi dan Soubin Shahir sebagai Dayal.

Menambahkan lagi keterujaan, kehadiran Amir Khan dalam watak khas sebagai Dahaa telah diumumkan baru-baru ini satu kejutan yang mengundang reaksi hangat di media sosial dan komuniti peminat.

Barisan  pelakon ternama dari pelbagai latar mengangkat lagi status Coolie sebagai karya berskala mega yang menjanjikan aksi, emosi dan hiburan dalam kelas tersendiri.

Selain pelakon, kekuatan teknikal filem yang sama turut menjadi perhatian apabila ia dikendalikan oleh nama-nama besar dalam industri.

Sinematografi digalas oleh Girish Gangadharan, penyuntingan oleh Philomin Raj manakala aksi dan lagak ngeri diarahkan oleh duo terkenal Anbariv.

Dialog filem ini ditulis oleh Lokesh bersama Chandhru Anbazhagan, yang turut menyumbang kepada skrip tambahan.

Dengan gandingan bintang, barisan produksi yang mantap dan kempen promosi yang belum pernah dilakukan sebelum ini, Coolie dijangka mencatat sejarah tersendiri dalam landskap perfileman Tamil di Malaysia. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Malik Streams peroleh hak tayangan filem Coolie di Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast