KUALA LUMPUR – Bekas suami Nora Danish yang juga usahawan popular, Nedim Nazri tidak lagi berahsia mengenai hubungan cintanya dengan pelakon, Nadia Brian apabila berkongsi foto berpegangan tangan di media sosial.
Lebih terbuka, Nedim atau juga dikenali sebagai Boss Ned turut meluahkan perasaannya apabila menulis kapsyen romantis untuk buah hatinya itu.
“Dalam fikiran saya, awak yang paling saya suka,” tulisnya dalam satu perkongsiannya semalam.
Sementara itu, Nadia pula turut mengulangsiar perkongsian tersebut dan meninggalkan komen ucapan terima kasih dan emoji hati merah buat Nedim.
Perkongsian tersebut seterusnya meraih pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya menyokong hubungan mereka selain mendoakan agar berakhir hingga ke jenjang pelamin.
Baru-baru ini, Nedim dan Nadia mencuri perhatian ramai selepas mereka saling berkongsi foto bersama dalam akaun media sosial.
Nadia juga pernah memberitahu hubungan mereka ketika ini dalam fasa mengenal hati budi selain menyifatkan Nedim sebagai lelaki penyayang.
Terdahulu, Nedim pernah mendirikan rumah tangga dengan Nora pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Neyqal sebelum disahkan bercerai pada Julai 2024.
Sementara Nadia pula pernah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Muizz Nasruddin pada 9 November 2019 namun berpisah pada April 2021. – MalaysiaGazette
















