Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memberi amaran keras agar isu kesihatan awam berkaitan HIV tidak dijadikan alasan atau ‘pintu masuk’ untuk menormalisasikan agenda dan ideologi yang bercanggah dengan nilai agama, moral serta norma masyarakat.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ABIM memandang serius polemik penganjuran program Glamping With Pride yang menggunakan pendekatan dan penjenamaan sensitif sehingga mencetuskan keresahan awam.

“ABIM tidak menyokong sebarang bentuk normalisasi perlakuan songsang atas nama kesedaran kesihatan awam. Penolakan terhadap perbuatan yang bercanggah dengan ajaran agama dan nilai masyarakat tidak bermaksud penolakan terhadap individu, tetapi merupakan usaha menjaga kesejahteraan sosial, akhlak dan keharmonian bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ahmad Fahmi, isu HIV dan AIDS merupakan isu kesihatan awam yang nyata melibatkan nyawa dan kesejahteraan insan, namun ia tidak boleh dieksploitasi untuk membawa naratif ideologi tertentu yang bercanggah dengan asas masyarakat dan Perlembagaan negara.

Menurut beliau, penggunaan istilah, simbol atau penjenamaan yang mempunyai konotasi ideologi tertentu bukan sahaja mengaburkan mesej kesihatan, malah berisiko mencabar nilai agama serta mencetuskan ketegangan sosial yang tidak perlu.

“Penggunaan bahasa dan simbol yang membawa agenda tertentu boleh menimbulkan salah faham masyarakat serta menghakis sensitiviti nilai dalam negara berbilang agama dan budaya seperti Malaysia,” katanya.

Dalam konteks tadbir urus negara, ABIM menyifatkan kelemahan kawal selia terhadap penganjuran program komuniti sensitif sebagai satu risiko besar yang tidak boleh dipandang ringan.

“Malaysia perlu memperkukuh kerangka dasar dan kawal selia, khususnya terhadap program bersifat tertutup, bermalam dan bertemakan isu sensitif supaya tidak disalahgunakan,” katanya.

Sehubungan itu, ABIM mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas antara kementerian bagi merangka garis panduan nasional yang lebih tegas melibatkan penjenamaan, kandungan program, mandat penganjur serta pematuhan kepada kepentingan awam.

“Langkah ini bukan menyekat ruang sivik tetapi memastikan isu kesihatan awam tidak dijadikan alat advokasi identiti atau normalisasi nilai yang jelas bercanggah dengan pegangan majoriti rakyat,” jelasnya.

Daripada perspektif Islam, Ahmad Fahmi menegaskan, pendekatan kesedaran mesti berteraskan hikmah, pemulihan akhlak dan sokongan psikososial namun tanpa mengabsahkan perlakuan yang ditegah agama.

“ABIM menegaskan keseimbangan antara rahmah dan ketegasan perlu ditegakkan, sambil memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan menyediakan garis panduan jelas hanya akan membuka ruang kepada polemik berulang yang menggugat keharmonian masyarakat,” katanya lagi.

Penganjur program Glamping With Pride dilaporkan tetap akan diteruskan walaupun mendapat bantahan daripada banyak antaranya daripada Pas Selangor.

Program tersebut dianjurkan oleh sebuah kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) yang dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai satu retreat berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Menurut kumpulan itu, aktiviti tersebut tidak melanggar undang-undang negara. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

JAIS digesa ambil tindakan tegas penganjuran ‘Glamping with Pride’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast