Antara aktiviti yang dijalankan semasa Program Ancaman Siber: Remaja Celik Digital anjuran Mahasiswa Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.

KUALA LUMPUR – Mahasiswa Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) berjaya menganjurkan sebuah program jalinan komuniti yang berimpak tinggi bertajuk “Ancaman Siber: Remaja Celik Digital”.

Program advokasi ini dilancarkan atas dasar kesedaran tinggi serta kebimbangan mendalam terhadap peningkatan drastik kes jenayah siber yang kian meruncing dan mensasarkan generasi muda di Malaysia kini.

Berdasarkan statistik semasa yang amat membimbangkan, sejumlah 40 peratus kanak-kanak di Malaysia dilaporkan langsung tidak mengetahui cara atau kaedah terbaik untuk melindungi diri mereka ketika melayari internet.

Keadaan ini menjadi lebih kritikal apabila 83 peratus daripada golongan tersebut terdedah kepada pelbagai risiko eksploitasi dalam talian akibat daripada sistem perlindungan peranti dan kesedaran kendiri yang tidak mencukupi.

Trend negatif ini mendedahkan golongan remaja kepada ancaman keselamatan serius seperti gejala buli siber, pencurian identiti, taktik pengantunan seksual dalam talian (online grooming), serta penyebaran maklumat peribadi tanpa kebenaran secara tidak terkawal.

Oleh itu, tujuan utama bengkel advokasi ini diadakan untuk melatih para pelajar sekolah menengah mengesan bahaya dan risiko tersorok di alam maya melalui pendedahan intensif kepada kes-kes jenayah sebenar yang pernah dikendalikan di mahkamah negara.

Projek komuniti ini juga bermatlamat untuk menerapkan kemahiran praktikal yang komprehensif bagi menjamin keselamatan peranti peserta ketika mereka menggunakan aplikasi media sosial harian dan platform permainan video.

Pada masa yang sama, bengkel ini berfungsi meningkatkan pemahaman undang-undang mereka terhadap hak, tanggungjawab sivik, serta implikasi perundangan yang ketat terhadap sebarang bentuk tingkah laku jelik atau hantaran yang dimuat naik di internet.

Bagi merealisasikan objektif murni jalinan masyarakat ini, bengkel interaktif secara bersemuka telah diadakan dengan jayanya di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya, dengan menyasarkan kelompok remaja sekolah menengah yang mempunyai akses penuh kepada peranti elektronik dan aktif menggunakan media sosial popular seperti Instagram, TikTok dan X, serta platform permainan video global
seperti Mobile Legends, PUBG, Roblox dan Minecraft.

Kumpulan sasaran ini dikenal pasti sebagai golongan yang paling berisiko tinggi untuk terjerat sama ada sebagai mangsa penggodaman atau sebagai pelaku jenayah siber secara tidak sengaja akibat kekurangan literasi undang-undang.

Seramai 24 orang mahasiswa dan mahasiswi dari Fakulti Undang-Undang UM telah menggembleng tenaga, masa, dan kepakaran undang-undang mereka untuk bertindak sebagai fasilitator, penceramah advokasi, serta pembimbing teknikal sepanjang program berlangsung dengan penyertaan 80 orang pelajar.

Harapan utama daripada penganjuran program pada kali ini adalah untuk melahirkan sebuah kelompok rujukan dinamik yang bertindak sebagai “Duta Siber” alam kalangan pelajar SMK La Salle sendiri.

Melalui modul praktikal dan pemahaman perundangan yang telah dicurahkan, para peserta diharapkan tidak sekadar menjadi pengguna media sosial yang bijak, malah berupaya menjadi pelindung barisan hadapan yang menyebarkan ilmu keselamatan siber ini kepada rakan sebaya dan ahli keluarga terdekat secara berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast