Mohamad Sabu hadir berkempen calon PH DUN Senaling, Mohd Hanis Mohd Alimin, di Ulu Senaling

KUALA PILAH –  Kunjungan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu ke Kuala Pilah malam ini bukan sekadar menghadiri program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, tetapi mengimbau kembali kenangan ketika beliau pernah menjalani perintah buang daerah di situ lebih empat dekad lalu.

Beliau berkata, setiap kali kembali ke Kuala Pilah, pelbagai kenangan lama kembali segar termasuk detik-detik ketika melalui tempoh sukar sebagai aktivis politik.

“Saya datang dari Kota Raja terus mencari bekas pegawai polis yang pernah membawa saya dari Bukit Aman ke Rest House Kuala Pilah. Nama sebenarnya saya sudah lupa, kini sudah bergelar ‘Datuk’.

“Saya sempat bertemu beliau di kebunnya dan kami berbual mengimbau kembali kenangan lama,” ujarnya ketika berucap pada program Kenduri Rakyat dan Ceramah Kelompok Pakatan Harapan (PH) bagi membantu kempen calon PH DUN Senaling, Mohd Hanis Mohd Alimin, di Ulu Senaling, di sini, malam ini.

Menurut Mohamad, bekas pegawai polis berkenaan pernah menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Cawangan Khas Negeri Sembilan dan melalui pertemuan itu beliau turut berpeluang bercakap dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang kini menetap di Negeri Sembilan serta mengusahakan ladang.

Beliau berkata, pertemuan semula dengan individu yang pernah mengiringinya ketika menjalani perintah buang daerah membuktikan perjuangan politik tidak seharusnya disertai dengan perasaan dendam.

“Walaupun saya pernah ditangkap beberapa kali, dikenakan perintah buang daerah dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), saya tidak pernah berdendam dengan pegawai yang melaksanakan tugas mereka.

“Dalam perjuangan kita tidak boleh ada dendam. Mereka hanya menjalankan amanah mengikut peraturan dan undang-undang ketika itu,” jelasnya.

Mohamad turut mengimbau kehidupannya ketika dibuang daerah di Kuala Pilah apabila terpaksa mencari rezeki dengan mengambil upah menyembelih ayam di pasar, membanting padi ketika musim menuai serta menebas kerana tidak menerima sebarang bantuan.

Beliau berkata, isterinya hanya dapat datang menziarah sekali setiap satu atau dua minggu, namun pengalaman itu mengajarnya erti kesabaran dan ketabahan.

Selain bertemu rakan lama, Mohamad turut mengambil kesempatan menziarahi isteri Allahyarham Ustaz Hashim A. Ghani yang pernah mengajarnya terjemahan al-Quran ketika berada di Kuala Pilah.

Beliau juga berhasrat bertemu keluarga beberapa sahabat lama termasuk keluarga bekas calon Parlimen Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum 1986 serta anak-anak rakan yang pernah dikenalinya ketika menetap di daerah itu.

Mohamad berkata, beliau akan meluangkan masa mengunjungi Pasar Besar Kuala Pilah pagi esok bagi bertemu lebih ramai rakan lama yang masih menetap di daerah berkenaan.

“Saya gembira dapat kembali ke Kuala Pilah. Daerah ini menyimpan begitu banyak kenangan dalam perjalanan hidup dan perjuangan saya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast