KUALA LUMPUR– Filem kemanusiaan Indonesia Hayya 3: Gaza bakal menyapa layar pawagam Malaysia bermula 30 Oktober ini, membawa bersama kisah pilu dan ketabahan rakyat Palestin yang terus bergelut di tengah konflik berdarah.

Arahan Jastis Arimba dan terbitan Warna Pictures bersama 786 Production, filem ini dibintangi oleh pelakon dan pendakwah terkenal Oki Setiana Dewi, yang sebelum ini turut membintangi dua filem terdahulu dalam siri Hayya.

Kehadirannya sekali lagi menambah kekuatan emosi dan nilai dakwah dalam karya yang sarat mesej kemanusiaan ini.

Hayya 3: Gaza mengisahkan Abdullah Gaza, anak yatim yang kehilangan ayahnya — seorang sukarelawan kemanusiaan yang gugur selepas pulang dari Palestin. Di rumah anak yatim, Abdullah bertemu Hayya, gadis kecil asal Gaza yang terpisah daripada keluarganya akibat perang. Pertemuan dua jiwa ini membawa harapan, kasih dan doa agar dunia kembali damai.

Lebih menyentuh hati, penerbit filem mengumumkan 40 peratus hasil kutipan tiket akan disumbangkan kepada rakyat Palestin. Filem ini bukan sekadar tontonan, tetapi satu bentuk solidariti nyata terhadap penderitaan di bumi Gaza.

Dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia (Kemenparekraf), filem ini dijangka mengundang air mata dan renungan mendalam, menyedarkan penonton bahawa di sebalik setiap kisah perang, ada jiwa-jiwa kecil yang masih berharap pada kedamaian.

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara termasuk rangkaian TGV, GSC dan LFS dan sesuai untuk tontonan penonton berumur 13 tahun ke atas.

Filem ini bukan sekadar cerita malah ia adalah seruan kemanusiaan dari layar perak untuk hati manusia. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast